'Anda menipu dan pengecut...'

SINGAPURA: Prinsipal pasukan Mercedes, Toto Wolff membidas rakan sejawatannya dalam pasukan lain kerana menipu dan bersikap pengecut yang menyaksikan Esteban Ocon tidak dapat mewakili mana-mana pasukan pada musim depan.

Dua bulan lalu, Ocon menerima tawaran sementara daripada Renault serta McLaren, selepas pasukan Force India diambil alih oleh bilionair Kanada, Lawrence Stroll yang kemudian akan menyaksikan Ocon digantikan oleh anak Stroll, Lance. 

Bagaimanapun Renault melakukan kejutan apabila mendapatkan pemandu Red Bull, Daniel Ricciard, selepas Carlos Sainz meninggalkan pasukan itu untuk ke McLaren menggantikan Fernando Alonso.

Ini bermakna, kedua-dua pasukan itu sudah menutup pintu kepada Ocon yang kini hampir pasti tidak akan beraksi pada musim 2019.

"Apa yang berlaku pada tahun ini terutama pada Julai dan Ogos agak sukar dipercayai. Banyak politik dan agenda tersembunyi serta penipuan," kata Wolff.

"Tidak semua pemandu berbakat akan dapat beraksi pada musim depan dan Ocon mungkin seorang daripadanya.

"Pada Julai, dia menerima dua tawaran dan hanya perlu memilih tawaran paling baik. Kemudian, akhirnya Ocon tidak mempunyai pasukan hanya kerana ada individu yang pengecut dan tidak mengotakan janji mereka," tambahnya.

Ocon pula berkata, adalah sukar untuk dia menerima kenyataan tidak akan dapat beraksi di saingan Formula Satu (F1) musim depan.

"Saya berada di situasi yang baik dua bulan lalu tetapi tiba-tiba semuanya hilang begitu saja.

"Saya bekerja keras untuk mencapai tahap ini dan tahun ini prestasi saya lebih baik berbanding tahun lalu," kata Ocon.

Setakat ini, hanya Haas, Sauber, Toro Rosso dan Williams belum mengumumkan senarai pemandu mereka untuk musim depan. - AFP

 

Kembali >> Ke halaman utama berita

Comments (0)

No login