Am : Program sokongan komuniti penjagaan kanak-kanak akan diwujudkan di PPR - Zuraida


KUALA LUMPUR, 14 Sept (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan mewujudkan program sokongan komuniti bagi penjagaan kanak-kanak di setiap Projek Perumahan Rakyat (PPR).

Menterinya Zuraida Kamaruddin berkata program yang menggalakkan golongan ibu di PPR bekerjasama menjaga kanak-kanak di kawasan perumahan mereka itu akan dimasukkan dalam dasar perumahan rakyat baharu yang dijangka diumumkan hujung bulan ini.

"Kita dapati ada ibu bapa yang tinggal di PPR ini tidak mampu menghantar anak mereka ke pusat asuhan atau mengupah orang menjaga anak-anak. Jadi melalui program ini akan ada para ibu yang secara sukarela menjaga anak-anak jiran yang lain semasa ibu bapa mereka keluar bekerja.

"Mungkin kalau bukan ikut blok kita boleh buat berasaskan tingkat. Ini bergantung kepada keperluan. Jika jiran tahu yang dia ini ada masa luang, dia boleh bantu tengokkan kanak-kanak mungkin untuk tiga hingga empat jam, dan esoknya ada orang lain pula yang ada masa lapang boleh jaga anak-anak jiran," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas melawat keluarga kanak-kanak perempuan, Siti Nur Nadhirah Khairul Anuar, 4, yang maut selepas terjatuh dari balkoni rumahnya di tingkat 17, Blok A, PPR Kota Damansara, pagi semalam.

Beliau berkata kementerian juga akan mempertimbangkan untuk memberi insentif mengikut jam kepada golongan ibu yang membantu menjaga kanak-kanak ketika ibu bapa mereka keluar bekerja.

Mengulas kunjungannya, Zuraida berkata beliau dimaklumkan oleh bapa kanak-kanak itu, Khairul Anuar Kusnan, 45, yang mereka ingin terus tinggal di rumah yang diduduki sejak tiga tahun lepas walaupun ditawarkan berpindah ke unit yang lain.

"Saya juga telah minta persetujuan dia (Khairul Anuar) agar persatuan penduduk di sini dapat bergotong-royong mengemas rumah mereka dan tolong baiki apa-apa yang patut," katanya.

Dalam kejadian kira-kira 7 pagi itu, mangsa dipercayai tergelincir ketika memanjat kerusi plastik di balkoni rumah yang tidak dipasang jeriji atas dan difahamkan kejadian berlaku di luar pengawasan ibu bapanya kerana keluar berniaga.

Dalam perkembangan lain, Zuraida berkata Highland Towers dijangka dirobohkan dalam tempoh sebulan lagi bagi membolehkan pembangunan semula dibuat secepat mungkin.

“Diharapkan pembangunan dapat dibuat menjelang Disember,” katanya.

Zuraida sebelum ini dilaporkan berkata sebuah taman rekreasi akan dibina di atas tapak kondominium Highland Towers yang runtuh kira-kira 25 tahun lalu.

-- BERNAMA

 

Kembali >> Ke halaman utama berita

Comments (0)

No login