Pahit-maung diabadi dalam autobiografi

Dalam diam-diam, anak seni bernama Siti Nordiana Alias ini sebenarnya menyimpan banyak keperitan dalam meniti kehidupannya.

Tidak hanya dalam kerjaya, rumah tangga yang dibina atas dasar cinta juga punah dilanda badai.

Namun, ibu tunggal seorang anak ini belajar menerima takdir yang sudah ditetapkan. Malah, dia berusaha bangkit dan keluar dari masalah membelenggu dirinya.

Baru saja melancarkan buku autobiografi berjudul Life Goes On, anak jadi FELDA Sendayan, Negeri Sembilan ini mengakui pernah mengalami tekanan hebat selepas bekas suaminya Faizal Yusuf meninggal dunia pada Januari 2013.

Menurut Nana, dia kehilangan orang yang paling rapat untuk berkongsi cerita mengenai anak dan berasakan satu tanggungjawab besar untuk mendidik, menyara dan membesarkan anaknya Mohd Rayyan Nakhaie.

“Sejak hari arwah meninggal dunia, saya mengalami tekanan perasaan yang sangat berat. Apabila duduk seorang diri di rumah, saya rasa sesak nafas, tiba-tiba panik dan jantung berdebar laju.

“Keadaan itu berterusan hingga Ogos tahun itu. Saya kemudian putuskan untuk keluar meluangkan masa dengan kawan. Saya sedar, saya perlu melakukan sesuatu supaya dapat merawat hati yang sedih.

“Sebelum arwah meninggal dunia, dia menyatakan hasrat membawa Rayyan pulang ke rumahnya tetapi saya tidak bersetuju, memang ada rasa bersalah jugalah,” katanya.

Penyanyi, pelakon dan pengacara itu berkata, bab yang paling sukar ditulis dalam buku Life Goes On adalah Aku Terima Nikahnya.

Bukan mudah baginya untuk membuka kembali kotak memori yang penuh dengan kesedihan dan kekecewaan.

Namun, melihat kembali cebisan kisah lalunya, Nana sebak kerana tidak sangka mampu menghadapi dugaan seberat itu.

Menurut Nana, Rayyan adalah sumber kekuatan yang membantunya berdiri semula.

Mungkin apa yang dilaluinya itu hanya dugaan kecil dibandingkan individu lain, tetapi dia berharap perkongsian menerusi buku berkenaan dapat dimanfaatkan dan memberi motivasi kepada mereka yang punya pengalaman sama seperti dia.

“Saya kongsi pengalaman itu bukan untuk membuka aib sesiapa tetapi harap ia dapat membantu mereka yang mengalami pengalaman sama supaya terus kuat menjalani kehidupan.

“Kita sentiasa diuji dan berhadapan bermacam-macam dugaan tetapi percayalah, kita kuat dan mampu melalui semua itu,” katanya.

Buku terbitan Must Read Sdn Bhd yang ditulis sendiri oleh Nana itu turut menceritakan perjalanan kariernya sejak zaman kanak-kanak dan jatuh bangunnya dalam industri hiburan hingga sekarang.

Andai ada syarikat produksi yang ingin mengangkat kisah daripada buku itu ke drama, Nana terima dengan hati terbuka dengan syarat dia tidak terbabit sebagai pelakon dalam siri berkenaan.

“Kalau ada yang ingin jadikan kisah hidup saya sebagai drama, saya tidak akan menolak andai ia dapat memberikan manfaat kepada orang lain.

“Tetapi, bukan saya pelakon yang ada dalam drama itu dan kalau boleh tidak perlu nyatakan ia daripada kisah hidup saya,” katanya.

Kembali >> Ke halaman utama berita

Comments (0)

No login