'Pengakap' jaga negara

Melaka: “Baik kamu pergi. Jika tak pergi, itu jam (pada waktu itu) mereka tak kira bangsa (bunuh).”

Itu kata-kata yang masih diingati Soon Poh Lee, 85, antara veteran tentera yang pertama menyertai Rejimen Persekutuan ditubuhkan pada 1952 untuk menentang ancaman pengganas komunis ketika era darurat.

Rejimen Persekutuan yang ditubuhkan British pada waktu itu satu-satunya unit tempur infantri yang menerima rekrut pelbagai kaum di Tanah Melayu dengan komposisi 50 peratus bangsa Cina, 30 peratus Melayu dan baki selebihnya India.

Soon berkata, dia menyertai pasukan itu ketika berusia 19 tahun didorong semangat untuk mempertahankan keamanan negara.

“Pada waktu itu, orang dewasa sangat takut dengan ancaman komunis, lebih-lebih lagi selepas melalui kesusahan lima tahun di bawah pemerintahan Jepun ketika Perang Dunia Kedua.

“Dengan peluang pekerjaan yang terhad walaupun pada waktu itu menetap di Kuala Lumpur, saya terus mendaftarkan diri sebaik mendengar taklimat pengambilan rekrut baru,” katanya, semalam.

Beliau berkata, pada mulanya penyertaan rekrut bukan Melayu sangat kurang kerana kebanyakan remaja Cina seusianya menganggap tugas tentera seperti aktiviti pengakap, walaupun dengan tawaran gaji RM65 sebulan, satu nilai yang tinggi pada waktu itu.

“Sepanjang menyertai angkatan tentera, saya tetap menerima layanan seperti bangsa lain, malah lebih mesra dan rapat seperti adik-beradik tanpa diskriminasi kaum dan agama,” katanya.

Bagi Ho Kim San, 82, yang juga veteran tentera pasukan yang sama, kesukaran menjaga negara ketika itu tidak dirasai kerana diwarnai semangat berpasukan yang menggabungkan pelbagai bangsa.

“Sepanjang perkhidmatan saya, tak ada siapa yang sebut kamu Cina duduk dengan Cina, Melayu dengan Melayu dan India dengan India.

“Malah, kami sering dikerah pihak atasan untuk mengawal dan menjaga bandar yang dikuasai kongsi gelap daripada kaum tertentu kerana gabungan kami.

“Kerana kami unik, kami turut menjadi pasukan pertama dihantar ke Sarawak ketika era konfrontasi,” katanya yang pernah bertugas di Congo pada 1960.

Beliau berkata, semangat perpaduan masyarakat pada waktu itu begitu kukuh dengan setiap kaum menyumbang keringat dan darah demi keamanan dan keharmonian, terutama selepas kemerdekaan.

Kembali >> Ke halaman utama berita

Comments (0)

No login