RM72.5j... rampasan dadah terbesar sejak 1996 [METROTV]

JABATAN Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman menumpaskan satu sindiket menjadikan sebuah kilang industri kecil dan sederhana (IKS) di Bukit Tengah, Bukit Mertajam sebagai lokasi memproses erimin 5.

Dalam serbuan bermula 8 malam Rabu lalu itu, polis merampas pelbagai dadah bernilai RM72.5 juta.

Antara dadah dirampas itu ialah 2.13 juta pil erimin 5, 742.6 kilogram (kg) serbuk dadah erimin 5, 27.3kg syabu, 5,080 pil ekstasi, 53.7kg cecair kimia.

ANTARA peralatan memproses dadah dirampas daripada sindiket memproses erimin 5 di kilang IKS di Bukit Tengah, Bukit Mertajam. FOTO Danial Saad. NSTP

Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, rampasan itu yang terbesar dalam sejarah di negara ini sejak 1996.

Beliau berkata, dalam serbuan terbabit polis menahan tiga suspek masing-masing dua lelaki dan seorang wanita berusia 30 hingga 46 tahun dalam serbuan di Pengkalan Hulu, Perak.

“Semua suspek ditahan dalam kereta selepas keluar dari negara jiran dan susulan daripada itu mereka membawa polis ke sebuah kilang di Bukit Tengah.

“Dalam serbuan di kilang terbabit polis menemui pelbagai dadah dan peralatan memproses pil erimin 5,” katanya.

Menurutnya, kejayaan itu susulan daripada kerjasama antara Police Narcotics Suppresion Bureau Thailand (PNSB) dan National Narcotics Control Commision of China (NNCC).

Kembali >> Ke halaman utama berita

Comments (0)

No login