Saya tiada komen - Pengerusi MIC Negeri Sembilan

SEREMBAN: “Saya tiada komen. Terpulanglah kepada dia,” kata Pengerusi MIC Negeri Sembilan, Datuk L Manickam, ketika ditanya mengenai hasrat bekas Setiausaha Agung parti itu, Datuk G Kumar Amaan, akan bertanding atas tiket bebas pada Pilihanraya Raya Kecil (PRK) Port Dickson.

Semalam, NSTP melaporkan, Manickam berkata, pertukaran kerusi antara parti itu dan UMNO bagi menghadapi PRK berkenaan tidak lama lagi, tidak mustahil berlaku, walaupun Parlimen Port Dickson kerusi tradisi MIC.

Hari ini, sebuah portal media melaporkan, Kumar Amaan mengesahkan akan menentang Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, selepas penyandang Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Danyal Balagopal Abdullah, meletak jawatan pada 12 September lalu.

Laporan itu menyebut, Kumar Amaan memilih untuk bertanding atas tiket bebas berikutan kenyataan Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran, bahawa parti itu tidak akan bertanding pada PRK berkenaan.

Kumar Amaan, dilaporkan berkata, kesal dengan keputusan MIC dan menyifatkan keangkuhan UMNO yang berhasrat untuk bertanding di PRK itu tanpa persetujuan MIC adalah sangat memalukan.

Beliau juga dilaporkan berkata, tujuan utama bertanding di Port Dickson adalah demi menjaga kepentingan pengundi India di Negeri Sembilan.

Kembali >> Ke halaman utama berita

Comments (0)

No login