Kemala terima Anugerah Majlis Sastera Asia Tenggara

KUALA LUMPUR: Sasterawan Negara (SN), Datuk Dr Ahmad Khamal Abdullah atau lebih dikenali sebagai Kemala dipilih sebagai penerima Anugerah Sastera Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA).

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam kenyataannya berkata, anugerah itu disampaikan pada Sidang MASTERA yang diadakan di Brunei Darussalam, bermula Rabu lalu hingga esok.

“Kemala ialah tokoh keenam dari negara ini yang menerima anugerah itu sejak ia dilaksanakan pada 2003.

“Ia sebagai pengiktirafan terhadap usaha Kemala dalam membawa sastera Melayu ke pentas dunia yang bukan sahaja menerusi hasil karyanya, bahkan peranannya sebagai Presiden Persatuan Sasterawan Nusantara Melayu Raya (NUMERA),” katanya.

Kenyataan itu berkata, karya berteraskan falsafah cinta akan kebenaran, kemanusiaan dan keindahan dalam karyanya meletakkan Kemala sebagai penyair Islami rantau ini.

“Ini dapat dilihat dalam beberapa karya terkenalnya seperti Anasir yang diterbitkan pada 1983; Mata, Rumah dan Merpati (2012); Di Bumi Lain (1976) dan Malam Perhitungan (1966),” katanya.

Kenyataan itu berkata, sehingga kini, Kemala menghasilkan lebih 15 kumpulan puisi; antologi (20); buku sastera (10); kumpulan cerpen (4) dan antologi (8), selain menulis 100 esei dan kritikan sastera termasuk buku kanak-kanak.

“Lebih menarik, puisi Kemala turut diterjemah ke dalam pelbagai bahasa seperti bahasa Belanda, Cina, Inggeris, Jerman, Perancis, Sepanyol dan Urdu, sekali gus meletakkan karyanya pada peringkat antarabangsa,” katanya. – BERNAMA

Kembali >> Ke halaman utama berita

Comments (0)

No login