Pelajar sanggup bayar RM500 selamatkan penyu

Sekumpulan pelajar tahun kedua Universiti Malaysia Terengganu (UMT), yang masing-masing menabung hingga RM500 untuk menjadi sukarelawan di Stesen Penyelidikan Penyu (SEATRU) universiti itu di Chagar Hutang di sini selama seminggu, menyifatkan pengalaman yang dilalui sebagai suatu yang berbaloi.

Bagi keenam-enam mereka, pelajar Pengajian Sains Asas di Pusat Pengajian Informatik dan Matematik Gunaan, aktiviti menyaksikan penyu bertelur adalah kenangan terbaik yang pernah dilalui mereka.

Walaupun terpaksa menjalani tugasan meronda pantai berjam-jam lamanya serta merekodkan jumlah pendaratan penyu, namun tugasan itu dilihat sebagai pembuka mata dan penyaluran ilmu kepada mereka.

Yap Mei Han, 21, dari Kepong, Kuala Lumpur berkata, “walaupun kami terpaksa membayar, ia berbaloi menjadi sukarelawan di pusat pemuliharaan penyu ini.

“Sebelum ini saya belum pernah melihat penyu hidup, dan sekarang ini bukan sahaja boleh sentuh malah melihat sendiri seluruh proses dari penyu betina mendarat di pantai, mencari tempat untuk bersarang, mengeluarkan telur, menetaskan telur dan melepas anak penyu berenang kembali ke laut,” katanya kepada Bernama di sini baharu-baharu ini.

SEATRU memperkenalkan program sukarelawan selama seminggu itu kepada peserta berumur lebih 18 tahun pada 1998, sebagai usaha untuk mengutip dana bagi membiayai kos RM150,000 setahun yang diperlukan untuk mengendali stesen itu yang telah beroperasi sejak 1993.

Bagi pelajar Malaysia dan mereka yang berumur lebih 60 tahun, mereka dikenakan bayaran RM500, manakala pelajar luar negara dikenakan bayaran US$200, dan bukan pelajar bawah 60 tahun RM800 dan warga luar negara US$350 seorang.

Program sukarelawan itu dijalankan setiap tahun dari April hingga September selama seminggu dari Sabtu hingga Sabtu berikutnya.

Sementara itu, pelajar UMT, Tobias Teoh, 21, dari Seri Kembangan, Selangor, yang tidak pernah menyukai haiwan, kini menjadi seorang yang menyayangi penyu.

Tugas harian para sukarelawan ini yang perlu mengawasi dan mengepil tag pada penyu, dan bila menyaksikan sendiri kesukaran hidup penyu yang terpaksa dilalui untuk kelangsungan hidup, membuatkan beliau begitu mahu memastikan haiwan itu dilindungi.

Tobias Teoh juga dapat menikmati ketenangan sepanjang berada di pulau ini, yang turut tidak mempunyai perhubungan internet, tiada televisyen dan kemudahan moden, hingga beliau amat menyukai malam yang sunyi dikelilingi alam semulajadi.

Beliau berharap rakyat Malaysia merebut peluang menyertai program ini walaupun sekali dalam seumur hidup untuk melalui pengalaman yang berharga ini.

Dr Mohd Uzair Rusli, Ketua Makmal Penyelidikan Luar Institut Oseanografi Dan Sekitaran (INOS) , berkata program sukarelawan itu diperkenalkan setelah penaja utamanya, sebuah syarikat swasta, terpaksa menarik diri berikutan kegawatan ekonomi pada 1998.

Beliau berkata, program berkenaan mendapat sambutan yang baik terutama dari luar negara, dan beliau berharap lebih ramai rakyat Malaysia, terutama dari Terengganu menyertai program ini yang akan membantu usaha universiti berkenaan dalam meningkatkan pemuliharaan penyu di negeri ini.

SEATRU juga menerima beberapa pelajar luar negara yang mengikuti ijazah sarjana mengenai penyu.

Chagar Hutang adalah sebuah pantai terpencil di hujung utara Pulau Redang, satu daripada tiga pantai penyu bersarang di pulau ini.

Pulau Redang diisytiharkan sebagai santuari penyu pada 2005.

- Bernama
 

Kembali >> Ke halaman utama berita

Comments (0)

No login