Wisma Putra urus pasport diplomatik Shafee - KP Imigresen

Jabatan Imigresen hari ini mengesahkan bahawa peguam bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak - Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah - mempunyai pasport diplomatik yang diuruskan sepenuhnya oleh Wisma Putra.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali dilaporkan sebagai berkata jabatannya hanya mengeluarkan pasport itu selepas mendapat kelulusan daripada Wisma Putra. Semalam, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur mengarahkan Shafee untuk menyerahkan semua pasportnya.

"Pasport diplomatik itu diuruskan Wisma Putra. Selepas mendapat kelulusan berhubung kepada siapa sepatutnya ia diberikan, barulah Jabatan Imigresen keluarkan pasport itu.

"Kita memang ada tiga jenis pasport, iaitu diplomatik, rasmi dan biasa," katanya yang dipetik oleh portal Berita Harian Online.

Shafee, semalam, dipetik oleh The Star sebagai berkata pasport diplomatik dikeluarkan kepadanya pada tahun 2016, apabila kerajaan melantiknya sebagai duta besar untuk hak asasi manusia selama tempoh dua tahun sehingga 2018.

Beliau berkata pasport itu masih sah, walaupun beliau menerima surat dari Wisma Putra bulan lalu memaklumkan kepadanya bahawa beliau tidak boleh lagi menggunakannya kerana tempoh jawatannya sudah berakhir.

Shafee ditangkap oleh SPRM di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang pagi semalam semasa mahu ke Pulau Pinang.

Dia dibawa ke mahkamah dan dikenakan empat pertuduhan - dua pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM9.5 juta daripada Najib dan dua pertuduhan membuat penyata yang tidak betul di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967.

Shafee kemudian dibebaskan dengan ikat jamin RM1 juta dan mahkamah juga memerintahkan supaya beliau menyerahkan kedua-dua pasportnya.

Kembali >> Ke halaman utama berita

Comments (0)

No login