Buku mengenai 1MDB oleh Clare habis dijual

Rewcastle-Brown tidak jangka ‘The Sarawak Report: The Inside Story of the 1MDB Expose’ terima sambutan memberangsangkan.

Cetakan pertama 5,000 naskhah buku mengenai skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang ditulis editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown habis dijual.

Wartawan wanita itu berkata beliau tidak menjangka buku setebal 528 muka surat bertajuk ‘The Sarawak Report: The Inside Story of the 1MDB Expose’ tersebut menerima sambutan begitu memberangsangkan sejak pelancarannya pada 8 September lalu.

Sebelum ini saya khuatir buku saya tidak akan dibaca oleh masyarakat, katanya yang ditemui pemberita pada sesi menandatangani bukunya di Penang Institute, di George Town hari ini.

Rewcastle-Brown yang gembira dengan perkembangan itu berkata beliau telah meminta penerbit yang berpangkalan di United Kingdom mengulang cetak buku berkenaan.

Pada masa sama beliau berharap bukunya itu akan memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia untuk menjadi wartawan pada masa depan bagi melindungi ‘Malaysia Baru’.

Katanya generasi muda perlu memahami kepentingan wartawan dalam menjaga demokrasi dengan mencari dan melapor kebenaran tanpa rasa takut sekalipun dipandang sebagai ‘Public Enemy No. 1’ (ancaman paling berbahaya kepada masyarakat).

“Jika wartawan ‘diserang’ oleh pihak berkuasa, ini bermakna apa yang mereka lakukan memberi kesan. Sudah tentu ada wartawan yang tidak jujur tetapi lebih mudah berurusan dengan wartawan sebegini daripada berurusan dengan kerajaan yang tidak jujur dan berbahaya.

“Kerjaya wartawan adalah suatu yang menyeronokkan dan walaupun kerjaya ini tidak menjadikan anda kaya-raya, ia memberi kepuasan yang tinggi dari segi berkhidmat kepada masyarakat dan berjuang demi rakyat,” katanya.

Skandal 1MDB disifatkan sebagai antara faktor utama tumbangnya kerajaan Barisan Nasional dan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Pilihan Raya Umum ke-14, Mei lalu.

Rewcastle-Brown memainkan peranan utama dalam pendedahan fakta skandal 1MDB termasuk identiti dalangnya.

- Bernama

Kembali >> Ke halaman utama berita

Comments (0)

No login