Wawasan PAS kutip infak RM10 juta sebulan

PAS menyatakan perancangan besarnya untuk mengumpul dana bagi menjalankan pelbagai aktiviti ketika parti tersebut berkumpul di Kuala Terengganu untuk mengadakan muktamar tahunan.

Berdasarkan hantaran di Facebook Bendahari PAS Pusat Razman Zakaria parti itu kini menyasarkan pungutan derma sebanyak RM10 juta sebulan.

Bagi membolehkan matlamat itu dicapai, PAS menyediakan beberapa kaedah untuk memudahkan penyokong serta anggota parti menghulurkan sumbangan.

Berdasarkan hantaran Razman itu beliau memetik Setiausaha Jabatan Bendahari PAS Pusat Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman yang berkata anggota parti boleh membuat potongan terus dari akaun masing-masing.

"Tindakan daripada setiap ahli jemaah melalui kaedah tersebut (potongan langsung).

"Setiap ahli isi borang direct debit untuk infaq RM10 sebulan, bersamaan kita menabung hanya 33 sen sehari," katanya.

Menurut Mohd Nurkhuzaini lagi PAS mempunyai kekuatan tersendiri kerana parti tersebut memiliki keanggotaan seramai hampir sejuta orang.

Sasaran boleh dicapai

Sasaran RM10 juta sebulan itu katanya hanya boleh dicapai dengan sistem pengurusan kutipan wang yang cekap dan sistematik.

Langkah itu katanya akan membolehkan PAS menjadi organisasi politik yang kukuh.

PAS memang dikenali sebagai sebuah pertubuhan politik yang banyak bergerak dengan derma dan sumbangan anggota pertubuhan berkenaan, selain beberapa pihak di luar parti.

Malah, beberapa pemimpin utama PAS pernah menegaskan beberapa kali bahawa kekuatan kewangan parti itu terletak pada poket-poket anggotanya.

Baca Dana PRU14: Asalkan ikhlas, halal PAS terima

Bagaimanapun PAS baru-baru ini dikaitkan dengan sumbangan derma individu yang mempunyai kaitan dengan Umno, namun pemimpin mereka menegaskan tiada sebarang salah laku atau penyelewengan terjadi pada parti tersebut.

Beberapa pemimpin PAS Terengganu juga pernah mengugut untuk menyaman Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Datuk Mahfuz Omar, yang menuduh mereka menerima wang daripada individu yang ada kaitan dengan Umno.

Menurut Mohd Nurkhuzaini dengan sumbangan sebanyak 33 sen sehari PAS boleh menjana pendapatan RM10 juta sebulan atau RM120 setahun.

"Insya-Allah amal jama’ie (tindakan bersama-sama) sebegini akan berjaya," katanya.

Kembali >> Ke halaman utama berita

Comments (0)

No login