Mufti, tokoh agama sokong tindakan Mujahid

Harussani

Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria

Tindakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri ( Hal Ehwal Agama), Datuk Mujahid Yusof Rawa mengarahkan potret aktivist Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) di festival pameran fotografi ‘Stripes and Strokes’ di George Town, Pulau Pinang diturunkan mendapat sokongan mufti dan tokoh agama negara ini.

Menurut Mufti negeri Perak Tan Sri Harussani zakaria LGBT adalah perbuatan mungkar yang dilaknat dan diharamkan oleh Allah sama ada dilakukan secara terus terang atau sembunyi.

Bahkan katanya, LGBT juga merupakan perbuatan terkutuk yang menyalahi hak kemuliaan seseorang manusia kerana menafikan hak berhubung melalui perkahwinan yang sah dan diiktiraf syarak.

Tambahnya, perbuatan mempromosikan ikon-ikon LGBT di khalayak ramai adalah usaha untuk menggalakkan dan mengiktiraf perbuatan haram tersebut.

“Saya menyokong sepenuhnya tindakan Menteri agama Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa yang mengarahkan potret aktivis LGBT yang dipamerkan di festival pemeran fotografi diturunkan.

“Tahniah dan syabas diucapkan kepada Menteri Agama kerana berani menyatakan kebenaran dan secara tidak langsung mempertahankan kredibiliti agama Islam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Sementara itu, Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang menulis di Facebooknya turut menyokong tindakan berani Mujahid itu dan mengucapkan tahniah kepada beliau.

“Bravo Dr Mujahid! Congratulation! May Allah bless and guide you. Alhamdulillah!,” ujarnya di Facebooknya.

Sokongan itu juga turut dinyatakan oleh Presiden Murshid Dr Zaharuddin Abdul Rahman di laman Facebooknya dengan menegaskan tindakan Mujahid itu adalah tindakan yang tepat.

“Tahniah dan perlu disokong tanpa mengira parti politik. Ia kelihatan kecil tetapi membawa suatu mesej yang besar dan jelas,” katanya.

Dr Zaharuddin Abdul Rahman

Tambahnya, hak mereka sebagai individu dan perlakuan secara individu, namun mempromosi gerakan kepada awam, ia memang patut disekat.

“Kita tidak mahu promosi mereka ‘menceroboh’ rumah-rumah masyarakat Malaysia yang bencikan perlakuan LGBT,” ujarnya.

Terdahulu, Mujahid berkata, tindakan menurunkan potret aktivis LGBT kerana hal itu bertujuan promosi di mana bertentangan dengan polisi Pakatan Harapan berhubung isu LGBT.

“Adakah perlu ikon sedemikian? Tiada ikon lain yang boleh ditampilkan. Jadi, jika saya tidak berkata apa-apa mengenainya, kita dilihat seperti mencabar polisi yang kita katakan beberapa kali sebelum ini,” katanya ketika ditemui media di lobi Parlimen kelmarin.

Pameran bertemakan patriotisme itu menampilkan aktivis Nisha Ayub dan Pang Khee Teik bergambar bersama Jalur Gemilang dan arahan penurunan potret mereka itu dilaporkan diarahkan oleh kerajaan Persekutuan.

Selain itu, Mujahid berkata, pihaknya menghormati golongan LGBT tetapi tidak bersetuju mempromosi gaya hidup golongan tersebut.

Terdahulu, Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Farizan Darus menjelaskan beliau menerima aduan mengenai potret kedua-dua aktivis berkenaan dan telah meminta pihak penganjur GTF menurunkannya.

 

Kembali >> Ke halaman utama berita

Comments (0)

No login