'Satu gol menang pun OK'

“SAYA mahu Kuala Lumpur menang. 1-0 pun tak apa,” tegas pengendali sementara pasukan itu, Chong Yee Fatt menjelang pertemuan dengan FELCRA FC dalam aksi Kumpulan A Piala Malaysia di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Ahad ini.

Untuk itu, Yee Fatt yang kini memimpin pasukan selepas jurulatih dari Brazil, Fabio Maciel direhatkan, akan memperkemaskan benteng pertahanan bagi memastikan pintu golnya tidak terus menjadi lubuk kepada lawan.

Beliau sedar, selagi kelemahan itu tidak diatasi, Kuala Lumpur akan terus kempunan untuk mencipta kemenangan malah mungkin diaibkan dengan kekalahan besar.

“Barisan serangan kami memang bagus apabila mampu menjaringkan banyak gol tapi apa gunanya jika pintu gol kami juga banyak dibolosi,” katanya.

Yee Fatt merujuk rekod mereka yang melepaskan 51 gol sepanjang Liga Super musim ini dan yang terbaru kekalahan 1-5 kepada Terengganu dalam aksi Piala Malaysia, hujung minggu lalu.

“Itu nasib baik Sharbinee (Alawee Ramli) yang menjaga gol, kalau orang lain mungkin lebih banyak bolos,” ujar Yee Fatt.

Menurut Yee Fatt, beliau sudah mengenal pasti punca kepada masalah itu dan sedang berusaha untuk memperbaikinya.

“Selama ini kami tidak bermain sebagai satu unit, masing-masing hanya menjaga kawasan sendiri. Sikap itu perlu diubah, mulai sekarang saya mahu mereka menyerang dan bertahan bersama sebagai satu pasukan.

“Saya tidak kisah mereka bermain buruk dan hanya jaringkan satu gol asalkan menang kerana itu lebih penting. Perkara inilah yang saya tekankan kepada pemain dan saya nampak mereka memberi tindak balas positif semasa latihan.

“Bagi mencapai matlamat itu, saya akan turut melakukan rombakan kecil dalam kesebelasan utama serta mengubahsuai formasi permainan apabila berdepan FELCRA dan berharap memberi impak besar serta membawa kemenangan,” katanya.

Kembali >> Ke halaman utama berita

Comments (0)

No login