Durakovic dalam radar Selangor

KUALA LUMPUR: Impian penyokong untuk melihat bekas jurulatih Selangor, Mehmet Durakovic kembali ke pangkuan Red Giants mungkin menjadi kenyataan.

Ia susulan terdapat khabar angin yang kini tersebar secara meluas di media sosial mengatakan pengendali Perak itu berada dalam radar Persatuan Bolasepak Selangor (FAS).

Setiausaha Agung FAS, Dr Johan Kamal Hamidon ketika dihubungi Sukan NSTP hari ini bagaimanapun enggan mengesahkan tetapi pada masa sama, beliau juga tidak menafikan khabar angin itu.

“Kami tak buat apa-apa kenyataan lagi dan masih dalam proses mengkaji. Penting untuk kami tidak mengacau mana-mana perhatian jurulatih.

“Kami mahu bersikap lebih profesional dan bila sudah ada keputusan nanti kami akan umumkan.

“Perbincangan dengan (beberapa) jurulatih memang sudah ada, tapi kami tidak boleh dedahkan,” katanya.

Berdasarkan laporan sebelum ini, Dr Johan mengesahkan empat calon jurulatih berada dalam radar FAS bagi membimbing skuad Red Giants musim depan.

Durakovic tidak asing lagi bagi arena bola sepak Selangor kerana beliau pernah mewakili Red Giants sebagai pemain pada 1995 hingga 1998.

Malah, pengendali berusia 52 tahun itu kembali bersama Selangor sebagai jurulatih pada 2013 dan berjaya menghadiahkan kejuaraan Piala Malaysia kepada Red Giants dua tahun selepas itu.

Kembali >> Ke halaman utama berita

Comments (0)

No login