Tunggu sampai April depan

KUALA LUMPUR: Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subahan Kamal sekali lagi menegaskan, beliau hanya akan berundur sekiranya skuad hoki lelaki negara gagal layak secara automatik ke Sukan Olimpik 2020 menerusi Pusingan Akhir Siri Dunia, April depan.

Menurutnya, walaupun saingan Sukan Asia menjanjikan tiket automatik ke Olimpik buat pemenang pingat emas, namun pasukan yang gagal masih mempunyai ‘talian hayat’ menerusi pusingan kelayakan akhir di Kuala Lumpur dan Perancis masing-masing pada April dan Jun depan.

Jelasnya, adalah tidak adil untuk peminat dan pengkritik menjadikan temasya di Indonesia sebagai medan ‘menjatuhkan hukuman’ ke atasnya sekiranya Malaysian Tigers gagal meraih emas.

“Saya ingin betulkan pandangan semua, apa yang diperkatakan saya sebelum ini bukan sasaran tetapi kami meletakkan harapan tinggi untuk mendapat pingat emas di Sukan Asia.

“Sasaran kami sekurang-kurangnya untuk mara ke final, untuk menang emas semua perlu faham bukannya mudah untuk menewaskan India dan Pakistan.

“Tiada siapa yang masuk pertandingan begitu yakin boleh menang emas, saya rasa India yang turun sebagai pasukan pilihan pun fikir perkara sama.

“Tetapi saya percaya pasukan negara akan memberikan yang terbaik di Jakarta dan jika berdasarkan undian kumpulan kita hanya perlu tewaskan Pakistan untuk menjuarai kumpulan sebelum dijangka bertemu Korea Selatan atau Jepun di separuh akhir.

“Andai menang kita kemudiannya akan masuk final dan pastinya bertemu India yang dilihat tiada masalah untuk mara, untuk final peluang dilihat seimbang.

“Tetapi apapun, kita masih ada hingga April untuk mencari slot ke Olimpik dan andai gagal juga saya akan memenuhi janji melepaskan jawatan,” katanya.

Justeru, Subahan meminta semua pihak untuk memberikan ruang secukupnya untuk beliau membantu skuad negara menamatkan kemarau 20 tahun ke Sukan Olimpik.

“Andai pasukan gagal mencapai emas pada Sukan Asia, beri peluang kepada saya dulu sehingga April depan untuk buktikan sesuatu. Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) pertama iaitu layak ke Piala Dunia secara automatik sudah dicapai.

“Kini hanya tinggal KPI nombor dua saja untuk dipenuhi dan sebab apa saya berani mempertaruhkan jawatan saya? Sebabnya saya yakin dengan kemampuan pemain untuk layak ke Sukan Olimpik,” katanya.

Kenyataan Subahan itu pastinya mengendurkan tekanan ke atas ketua jurulatih Stephen Van Huizen yang sebelum ini mengakui misi emas di Jakarta adalah tugasan yang sukar memandangkan kedudukan ranking India yang lebih baik.

Kembali >> Ke halaman utama berita

Comments (0)

No login