Nur Amirah harapan negara

 

KUALA LUMPUR: Penyerang hoki wanita negara, Nur Amirah Syakirah menggalas tugas besar sebagai 'mesin pencetak gol’ di Sukan Asia Indonesia dan ia bukan mustahil andai mengambil kira kemampuan pemain berusia 18 tahun itu.

Skuad Malaysian Tigress diletakkan dalam Kumpulan A bersama China, Jepun, Hong Kong dan Taiwan di Jakarta dan akan membuka kempen pada 19 Ogos berdepan Hong Kong.

“Saya sudah beraksi dalam beberapa kejohanan antarabangsa sebelum ini dan walaupun pada awalnya sedikit gentar, namun perasaan itu sudah hilang sedikit demi sedikit,” kata bekas pelajar SMK Datuk Lela Pahlawan di Padang Serai, Kedah itu.

Antara kejohanan yang pernah disertai Amirah adalah Trofi Juara-Juara Asia (ACT) di Donghae, Sukan Komanwel Gold Coast, Siri Hoki Terbuka di Singapura dan yang terbaru pada Jelajah Australia, dua minggu lalu.

“Aksi di Singapura paling diingati kerana saya berjaya menyumbat tujuh gol dan membantu Malaysia muncul sebagai juara.

“Saya juga akan mencuba yang terbaik untuk memburu gol di Sukan Asia, kerana ia boleh dianggap antara pentas terbesar dalam karier saya,” kata Amirah.

Katanya, walaupun Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) mensasarkan penamat gangsa di temasya berkenaan, namun ia tidak mendatangkan sebarang tekanan kepada pasukan.

“Jurulatih sering meletakkan sasaran yang tinggi untuk kami mendapat pingat di mana-mana kejohanan, jadi ia bukan sesuatu yang baru buat pasukan dan saya,” katanya.

Walaupun mendapat undian 'maut', tetapi berdasarkan rekod positif ketika menentang Jepun dalam tiga tahun terakhir menyaksikan Malaysia masih berpeluang merakamkan kejutan untuk melepasi halangan kumpulan.

Malah, Malaysia turut berjaya mengecilkan jurang kekalahan kepada China dan mereka hanya tewas 1-3 kepada negara Tembok Besar itu dalam saingan kumpulan ACT sebelum sekali lagi tumbang 0-2 dalam aksi penentuan tempat ketiga.

Kembali >> Ke halaman utama berita

Comments (0)

No login