Dah kalah nak bertumbuk pulak...

 

SHAH ALAM: Insiden pergaduhan pemain mencemari kemenangan 2-0 skuad Bawah 23 (B-23) ke atas Emiriah Arab Bersatu pada aksi persahabatan terakhir di Stadium Shah Alam malam ini.

Insiden itu berlaku di tengah padang selepas terdapat pemain UAE tidak berpuas hati dengan pemain negara sebelum ia merebak keseluruh pemain termasuk di bangku simpanan.

Bagaimanapun, sepanjang perlawanan, ada petanda positif yang dijelmakan pemain Datuk Ong Kim Swee sebelum ke Indonesia Isnin ini bagi menghadapi Sukan Asia.

Tidak hanya kemenangan yang jadi topik utama, daripada aksi yang dipamerkan anak buah Datuk Ong Kim Swee wajar mendapat pujian ketika langsung tidak menunjukkan rasa gerun terhadap lawan yang memiliki nama lebih gah di pentas bola sepak Asia.

Sebelum ini, Kim Swee kehilangan beberapa nama seperti Matthew Davies, Nor Azam Azih, Aidil Zafuan Abdul Radzak dan juga Jafri Firdaus Chew.

Jika prestasi sama mampu dijelmakan dalam perlawanan sebenar, tidak mustahil kejutan mampu dilakar skuad B-23 seperti dilakukan pada Kejuaraan Konfederasi Bola Sepak Asia B-23 di China awal tahun lalu apabila lakar kejayaan mara ke suku akhir.

INSIDEN pergaduhan pada lewat aksi persahabatan Malaysia B-23 dan UAE di Stadium Shah Alam. -Foto EIZAIRI SHAMSUDIN

Terdahulu, skuad Datuk Ong Kim Swee tampil selesa dengan menguasai permainan namun terpaksa menunggu sehingga minit ke-27 untuk memperoleh gol pendahuluan menerusi Safawi Rasid.

Minit ke-39, skuad negara berdepan situasi cemas apabila penjaga gol, Mohd Ifwat Akmal Chek Kassim keluar daripada posisinya dan gagal mengeluarkan bola dengan baik namun penyerang UAE, Zayadel Ameri gagal memanfaatkan peluang terhidang dengan baik.

Selang seminit selepas itu, Safawi meraih peluang terbaik menambah jaringan tetapi pertahanan lawan, Ismael Khalid Khamis nyata lebih pantas untuk mengeluarkan bola dari kawasan bahaya.

Bersambung babak kedua, UAE tampil lebih baik berbanding 45 minit pertama apabila dilihat lebih tersusun dalam setiap gerakan yang diatur sebaliknya benteng negara lebih berdisiplin mengekang serangan diatur lawan.

Minit ke-64, tonggak negara, gerakan solo menarik Mohammad Akhyar Abdul Rashid sekali lagi menceriakan kem negara apabila tenang melakukan sentuhan penyudah untuk menggegar gawang UAE buat kali kedua.

Ketika aksi hampir tamat, pergaduhan tercetus dalam masa kecederaan membabitkan pemain kedua-dua pasukan.

Kembali >> Ke halaman utama berita

Comments (0)

No login