Tak ada surat pun... - George Ginibun

DEWAN Undangan Negeri (DUN) Sabah belum menerima sebarang surat pemberitahuan daripada bekas Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman ataupun peguamnya, kata Timbalan Speaker Datuk George Ginibun.

"Buat masa ini, kami belum menerima sebarang surat daripada peguamnya (Musa).

"Sekiranya beliau tidak kembali dalam tempoh tiga bulan, ia (kelayakan sebagai ADUN) perlu dilakukan mengikut Perlembagaan," katanya ketika dihubungi.

George berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan peguam Musa yang mendakwa sudah menghantar surat, bertarikh 30 Julai, kepada Speaker DUN Sabah bagi menjelaskan keadaan kesihatan bekas ketua menteri itu.

Dalam kenyataan itu, Musa melalui peguamnya turut memohon untuk dilanjutkan masa bagi proses angkat sumpahnya atas perubatan.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan peguam bekas ketua menteri itu menegaskan, Musa mungkin tidak dapat kembali ke Sabah pada masa ditetapkan untuk mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Sibuga.

Beliau menyatakan keadaan kesihatan Musa tidak akan membenarkannya balik ke Sabah untuk upacara berkenaan dan beliau (Musa) juga masih menunggu keputusan hasil ujian perubatannya.

Terdahulu, Musa perlu mengangkat sumpah sebagai ADUN dalam tempoh tiga bulan bermula 11 Jun lalu, apabila persidangan DUN Sabah diadakan buat kali pertama selepas pilihan raya umum.

Kegagalan berbuat demikian boleh mengakibatkan kerusi yang dimenangi beliau diisytiharkan kosong.

Kembali >> Ke halaman utama berita

Comments (0)

No login