[UPDATE] Insiden itu adalah kemalangan...

KEJADIAN murid tahun dua yang melecur pada dada hingga ke kaki selepas air panas di dalam cerek elektrik digunakan untuk latihan amali tertumpah ketika mata pelajaran Sains, Rabu lalu, tidak membabitkan unsur kecuaian.

Insiden yang berlaku di sebuah sekolah jenis kebangsaan tamil (SJKT) di Sitiawan itu turut membabitkan tiga murid lain.

Bagaimanapun, dua daripadanya dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh, untuk rawatan lanjut, namun keadaan mereka stabil manakala seorang lagi sudah kembali bersekolah.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan negeri Dr Abdul Aziz Bari berkata, kejadian itu juga didapati tidak melanggar prosedur operasi standard (SOP).

Menurutnya, latihan amali itu sudah beberapa kali dilakukan sebelum ini dan ia membabitkan aktiviti amali untuk mata pelajaran Sains tahun dua di makmal sekolah berkenaan dengan 35 murid bersama seorang guru.

“Apa yang berlaku adalah kemalangan dan aktiviti itu juga sudah beberapa kali dilakukan (sebelum ini) cuma (pada hari kejadian) tidak bernasib baik dan tak semua kemalangan berlaku kerana tidak mengikut SOP.

“Saya harap semua tidak menuding jari kepada sesiapa kerana ini akan menambahkan lagi trauma kepada guru terbabit dan kerajaan negeri juga akan membantu serta memberi sokongan kepada mangsa dan keluarga terbabit,” katanya pada sidang media selepas sesi lawatan ke sekolah berkenaan, hari ini.

Dalam kejadian antara jam 10 hingga 11 pagi itu, kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun itu melecur hampir keseluruhan hadapan badannya termasuk kemaluannya.

Bapa kanak-kanak terbabit, M Loganathan, 46, dipetik berkata, dia yang ketika itu berada di Larkin, Johor, terkejut apabila menerima panggilan daripada isterinya memaklumkan anak mereka terkena air panas di sekolah sebelum bergegas pulang ke Sitiawan.

Katanya, anaknya yang dimasukkan ke Hospital Seri Manjung (HSM) kemudian dibawa ke HRPB bagi menerima rawatan lanjut sebelum dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Koronari (CCU) hospital berkenaan.

Dalam pada itu, Abdul Aziz berkata, setakat ini tiada sebarang tindakan akan diambil terhadap guru terbabit dan kejadian berkenaan secara tidak langsung menunjukkan SJKT memerlukan bantuan dan prasarana sewajarnya.

Berita berkaitan

Aduh, sakitnya...

Kembali >> Ke halaman utama berita

Comments (0)

No login