Nilai SPLASH bukan RM250 juta - Air Selangor

PENGURUSAN Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menyangkal dakwaan bahawa kerajaan negeri membayar 10 kali ganda nilai Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (SPLASH) susulan pengambilalihan syarikat itu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Suhaimi Kamaralzaman, berkata, dakwaan bekas Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim itu tidak benar kerana nilai SPLASH bukan RM250 juta.

"Angka itu (RM250 juta) diperoleh selepas kadar pulangan sebanyak 12 peratus ke atas pelaburan saham yang sudah dibuat sejak perjanjian konsesi bermula Januari 2000 sehingga 31 Disember 2012. Ia selepas ditolak dengan dividen yang dibayar sebelum ini.

"Angka yang ditawarkan kepada pemegang saham SPLASH dibuat pada 2013. Berdasarkan kenyataan kewangan SPLASH yang sudah diaudit, nilai buku bersih pada 31 Mac tahun samaberjumlah RM1.84 bilion.

"Tawaran berjumlah RM250 juta itu dibuat bermula 2013 adalah pada diskaun sebanyak 86 peratus kepada nilai buku bersih SPLASH," katanya dalam satu kenyataan di Shah Alam, hari ini.

Rabu lalu, NSTP melaporkan Abdul Khalid mendakwa nilai pembelian SPLASH berjumlah RM2.55 bilion terlalu tinggi berbanding yang ditawarkan beliau iaitu RM250 juta sebelum ini.

Beliau menyifatkan pengambilalihan itu akan membebankan rakyat melalui kenaikkan tarif air.

Bagaimanapun, Menteri Besar Selangor,Amirudin Shari menjelaskan bahawa tarif air akan kekal tetapi bergantung pada kewangan negeri.

Kata Suhaimi, pengambilalihan SPLASH dilaksanakan berdasarkan prinsip 'willing buyer, willing seller' iaitu pihak penjual dan pihak pembeli perlu bersetuju sebelum pengambilalihan dimuktamadkan.

"Sepanjang tempoh lima tahun, pemegang saham menolak cadangan menjual SPLASH pada harga RM250 juta kerana diskaun yang amat besar ke atas nilai buku bersih SPLASH.

"Akibat pengambilalihan SPLASH yang tertangguh selama lima tahun itu, jumlah tertunggak yang dihutangkan bagi pembelian air terawat kini mencecah RM4.7 bilion. Justeru, pada April lalu, SPLASH memulakan prosiding undang-undang ke atas hutang yang tertunggak," katanya.

Suhaimi berkata, RHB Investment Bank yang dilantik kerajaan negeri sudah menilaikan SPLASH antara RM2.5 bilion berdasarkan kaedah nilai buku bersih sehingga 31 Mac 2015.

"Penilai bebas yang dilantik Kerajaan Persekutuan iaitu Deloitte juga mengesahkan nilai pengambilalihan sebanyak RM2.7 bilion adalah munasabah dan saksama.

"Ernst & Young juga memaklumkan bahawa nilai buku bersih SPLASH pada 31 Mac 2017 adalah RM2.8 bilion. Justeru, nilai RM2.55 bilion yang ditawarkan ternyata lebih rendah daripada nilai yang disahkan," katanya.

Kata beliau, Air Selangor turut menolak dakwaan bahawa keistimewaan diberikan kepada SPLASH kerana diskaun lebih tinggi digunakan bagi pengambilalihan itu berbanding diskaun dalam pengambilalihan Puncak Niaga (M) Sdn Bhd (PNSB) pada 2015.

"Antara manfaat pengambilalihan SPLASH dan penyempurnaan penstrukturan semula industri perkhidmatan seperti segala bon dan pinjaman yang dihutang oleh keempat-empat syarikat konsesi air berjumlah lebih RM8 billion akan diambilalih oleh Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) dan distruktur semula sebagai bayaran sewa pajakan.

"Hutang kerajaan negeri kepada Kerajaan Persekutuan yang melebihi RM 1.1 billion bagi pelbagai projek berkaitan air juga akan distruktur semula sebagai bayaran sewa pajakan.

"Segala perjanjian konsesi yang diberikan kepada syarikat swasta akan ditamatkan dan tiada lagi keuntungan berlipat ganda seperti yang dinikmati oleh syarikat konsesi swasta seperti SPLASH.

"Kadar bekalan asas bagi bekalan air terawat oleh SPLASH pada kadar RM1.37 semeter padu (m3) akan turun ke kadar lebih munasabah iaitu bermula antara 42 hingga 44 sen m3," katanya.

Kembali >> Ke halaman utama berita

Comments (0)

No login