Rumah Ngaji OKU

MEMAHAMI golongan orang kurang upaya (OKU) masalah pembelajaran yang sukar mendapat guru mengajar al-Quran bersesuaian, Rumah Ngaji OKU ditubuhkan di Rasah Kemayan, Seremban pada 1 Ogos lalu.

Penyelarasnya Gharizah Hashim berkata, idea penubuhan Rumah Ngaji OKU tercetus selepas dia menerima permintaan tinggi dalam kalangan ibu bapa yang mempunyai anak OKU masalah pembelajaran.

Katanya, sebelum ini pihaknya hanya memberi fokus membantu masyarakat normal untuk membaca dan memahami kandungan al-Quran secara percuma di 20 Rumah Ngaji di Negeri Sembilan.

“Disebabkan ada ibu bapa yang mahukan kami mewujudkan Rumah Ngaji untuk golongan seperti lembam, kurang upaya intelektual, autisme, disleksia,

Attention Deficit Hyperactive Disorder (ADHD) dan sebagainya, kita menubuhkannya di rumah yang diwakafkan ini.

“Mereka yang menghadapi masalah berkenaan tidak boleh belajar secara beramai-ramai dan tenaga pengajar khusus diperlukan selain menggunakan silibus khas.

“Dengan itu, kami bekerjasama dengan Yayasan Pendidikan al-Quran Anak Istimewa Yayasan Faqeh yang mempunyai kepakaran untuk peserta Rumah Ngaji OKU ini,” katanya.

Menurutnya, sejak dibuka mulai Isnin lalu, Rumah Ngaji OKU menerima tujuh pelajar berusia di antara tujuh hingga 21 tahun.

“Mereka diajar tiga tenaga pengajar yang juga graduan Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang sebelum ini pernah menjalani latihan di Yayasan Faqeh.

“Setiap tenaga pengajar hanya akan mengajar dua peserta dalam satu kelas untuk memastikan mereka dapat memberi tumpuan dan memahami setiap sebutan dan bacaan peserta dengan betul.

“Rumah Ngaji OKU tidak mengenakan sebarang bayaran beroperasi setiap Isnin sehingga Khamis dengan dua sesi iaitu dari jam 8 pagi hingga 12 tengah hari dan 2.30 petang hingga 4.30 petang,” katanya.

Menurutnya, rumah ngaji itu beroperasi dengan hasil sumbangan kenalan dan masyarakat setempat.

Katanya, mereka yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank 555108319734 atas nama Rumah Ngaji Sheikh atau menghubunginay di talian 017- 3512144.

Kembali >> Ke halaman utama berita

Comments (0)

No login