Saya sedia disiasat - CEO PSM

KETUA Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) Azman Fahmi Osman sedia disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Audit Negara susulan dakwaan pelantikan kroni sebagai kontraktor panel perbadanan itu.

Menurutnya, lantikan kontraktor itu dibuat secara telus dengan melalui proses penilaian dan kelulusan lembaga pengarah PSM.

“Pelantikan setiap kontraktor panel dibuat berdasarkan jenama mereka, kesanggupan membuat pelaburan ketika naik taraf projek Bandar Sukan Kuala Lumpur (KLSC).

“Pemilihan kontraktor juga dibuat selepas mereka sanggup melakukan kerja peyelenggaraan penuh serta mampu membawa acara ke KLSC,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Beliau mengulas dakwaan seorang ahli perniagaan bergelar Datuk Seri mengenai wujud amalan kronisme dalam pelantikan kontraktor panel PSM.

Ahli perniagaan enggan dikenali itu mendakwa PSM hanya membenarkan pihak yang ingin menggunakan aset KLSC, menggunakan kontraktor panel sahaja yang mengenakan kos sewa dikatakan mencecah sehingga 10 kali ganda daripada nilai pasaran.

Azman Fahmi berkata, PSM mengenakan kadar sewa kompetitif dan berpatutan, kecuali jika penganjur membuat tempahan di saat akhir.

Katanya, surcaj pula hanya dikenakan kepada penganjur jika mereka tidak mahu menggunakan kontraktor panel PSM.

“Harga sewa sebenarnya tidak jauh berbeza daripada dulu. Misalnya, sewa Arena Axiata sebelum ini minimum RM110,000, sekarang selepas ubah suai, harganya RM180,000, namun ada diskaun sehingga RM60,000 jika melalui kontraktor panel.

“Sebenarnya, penganjur meraih keuntungan besar kerana harga sewa setiap kerusi hanya maksimum RM18 berbanding harga tiket dikenakan mereka kepada pengunjung yang mencecah ribuan ringgit,” katanya.

Mengenai kontraktor, Azman Fahmi berkata, panel sistem bunyi dilantik oleh Sennheiser, manakala panel LED dilantik oleh Samsung yang memasang semua kelengkapan di KLSC.

“PSM sentiasa menjaga kepentingan kerajaan bagi memastikan semua aset terpelihara dan diselenggara dengan baik,” katanya.

Kembali >> Ke halaman utama berita

Comments (0)

No login