Berlari 30 meter minta bantuan

PEKERJA kilang berlari dalam keadaan berlumuran berdarah selepas ditetak di bahagian pipi sejauh 30 meter untuk meminta pertolongan dalam kejadian di Taman Tiong, Kulim, kelmarin.

Dalam kejadian jam 5 pagi itu, mangsa, 39, yang yang sedang menunggu van kilang untuk ke tempat kerja di Bayan Lepas, Pulau Pinang, terkejut apabila diserang lelaki yang menutup sebahagian muka dengan kain sebelum menetaknya dipercayai cuba menyamun.

Menurut sumber, kejadian berlaku ketika mangsa sedang menunggu van terbabit sebelum sebuah kereta berhenti berdekatannya dan suspek keluar sambil membawa sebilah parang.

“Kejadian itu berlaku terlalu pantas apabila mangsa bergelut dengan suspek untuk menyelamatkan diri sebelum ditetak lelaki itu yang kemudian melarikan diri.

“Mangsa yang kesakitan dan berlumuran darah kemudian berlari meminta pertolongan jiran sebelum dibawa ke wad kecemasan Hospital Kulim,” katanya.

Katanya, jiran mangsa tampil membuat laporan polis mengenai kejadian yang menyebabkan mangsa menerima beberapa jahitan akibat cedera di pipi sepanjang 10 sentimeter.

“Mangsa tidak mengenali suspek dan tidak dapat mengecam jenis kenderaan digunakannya serta berapa ramai berada di dalam kereta itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Ahmad Nasir Jaafar mengesahkan kejadian, berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

“Siasatan akan dibuat daripada pelbagai sudut untuk mengetahui punca sebenar kejadian,” katanya.

Kembali >> Ke halaman utama berita

Comments (0)

No login