Dihukum kerana mencuri, lupus barang curi [METROTV]

DUA lelaki dihukum penjara 46 bulan manakala dua lagi didenda RM10,000 setiap seorang oleh Mahkamah Majistret Kampar, hari ini selepas didapati bersalah mencuri membabitkan kerugian kira-kira RM500,000, tahun lalu.

Mereka sebelum ini didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah di mahkamah sama pada 9 Mac tahun lalu sebelum dua daripadanya dipinda pertuduhan mengikut Seksyen 414 kanun sama kerana melupuskan barang curi pada 25 Mei lalu.

Dua tertuduh kes pecah rumah iaitu M Vickneswaran, 26, dan K Devaraj, 26, dihukum penjara 46 bulan atau tiga tahun 10 bulan sekali gus perlu membayar kos pendakwaan sebanyak RM500 setiap seorang.

Mereka didakwa secara bersama-sama memecah masuk rumah milik Leong Wei Hai, 36, di Mambang Diawan dan melarikan peti besi mengandungi emas antara jam 3.30 petang 7 Januari hingga 7.45 pagi 8 Januari tahun lalu.

Dua lagi tertuduh, R Sivanesan, 24, dan R Muraly, 33, pula didakwa atas tuduhan pindaan kerana melupuskan barang curi didenda RM10,000 setiap seorang yang jika gagal bayar boleh dipenjara tiga tahun selain kedua-duanya turut diperintah membayar kos pendakwaan RM500.

Sivanesan didakwa dengan sengaja membantu menghapuskan harta iaitu sebuah peti besi dipercayai harta curi di sebuah kolam ikan Kampung Dermawan, Tapah antara jam 7.45 pagi 8 Januari hingga 11.45 pagi 3 Mac tahun lalu.

Muraly pula didakwa dengan sengaja membantu menghapuskan kalung emas seberat 4.44 gram dipercayai harta curi di sebuah kedai pajak gadai di Jalan Idris, Kampar jam 1.24 tengah hari 8 Januari tahun lalu.

Keputusan dibuat Majistret Nur Faizah Muhamad Saleh yang mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kesemua tertuduh dan pihak pendakwaan berjaya mewujudkan kes prima facie.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Oon Kork Chern, manakala Vickneswaran diwakili peguam K Murthia; Devaraj diwakili peguam C S Thiviyah; Sivanesan diwakili peguam Baldip Singh dan Muraly diwakili peguam Jagdave Singh.

Mahkamah memerintahkan semua hukuman bermula hari ini dan menolak permohonan pihak pembelaan untuk menangguhkan hukuman terhadap kesemua tertuduh sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi Ipoh.

Kembali >> Ke halaman utama berita

Comments (0)

No login