PAS umum calon Seri Setia, Balakong esok?

CALON PAS yang akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong dan Seri Setia dijangka diputuskan selepas mesyuarat parti itu, esok.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, PAS Selangor akan membentangkan laporan termasuk senarai pendek nama calon untuk dipertimbangkan bertanding di dua DUN itu.

Katanya, PAS sentiasa mengalu-alukan cadangan nama calon termasuk peluang untuk memenangi kerusi, tetapi bergantung kepada PAS Selangor.

“Sesiapa sahaja boleh mencadangkan senarai calon termasuk membuat andaian peluang, tetapi PAS pusat bergantung kepada hasil laporan yang akan dibentangkan PAS Selangor,” katanya.

Beliau diminta mengulas cadangan UMNO agar PAS meletakkan bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai calon untuk bertanding di DUN Seri Setia.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS negeri kali ke-49, di Dewan Majlis Daerah Marang (MDM), hari ini.

Hadir sama, Ketua Dewan Pemuda PAS negeri Kamaruzzaman Abdullah.

Kerusi DUN Seri Setia kosong berikutan kematian penyandangnya, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin pada 2 Ogos lalu, manakala kerusi DUN Balakong pula kosong berikutan kematian penyandangnya, Eddie Ng Thien Chee yang terbabit dalam kemalangan jalan raya, 20 Julai lalu.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, Shaharuddin menang kerusi DUN Seri Setia dengan majoriti 19,372 undi selepas menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Yusoff M Haniff, Mohd Ghazali Daud (PAS) dan S Vigneswaran (Bebas).

Kerusi DUN Balakong pula dimenangi calon PKR, Tien Chee dengan majoriti 35,538 undi selepas menewaskan calon PAS Mohamad Ibrahim Ghazali dan Lim Chin Wah (BN).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN Balakong dan Seri Setia dijalankan serentak pada 8 September depan, manakala hari penamaan calon ditetapkan 18 Ogos ini.

Kembali >> Ke halaman utama berita

Comments (0)

No login