Mana mau lari?

POLIS Sabah mengesan dua bekas guru sekolah agama rakyat kerana didakwa terbabit dalam beberapa kes rogol dan cabul di sekolah di pekan Bingkor, Keningau.

Kegiatan kedua-dua suspek berumur 26 tahun terbongkar selepas seorang mangsa berusia 10 tahun menceritakan kepada guru di sekolah berkenaan sebelum melaporkan kejadian itu kepada keluarga mangsa.

Susulan itu, satu laporan polis dibuat keluarga murid terbabit, semalam.

Difahamkan, seorang suspek dikatakan merogol mangsa manakala seorang lagi suspek meliwatnya di lokasi berasingan di kawasan sekolah itu pada tahun lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

“Berdasarkan laporan, mangsa mendakwa dirogol dan diliwat dua guru di sekolah berkenaan, tahun lalu, namun masa dan tarikh kejadian tidak dapat dipastikan.

“Berdasarkan siasatan, kedua-dua suspek sudah diberhentikan kerja dan polis kini sedang mengesan mereka untuk membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ramli berkata, pihaknya turut menerima laporan beberapa murid di sekolah berkenaan yang mendakwa dicabul suspek terbabit.

Beliau berkata, selain laporan mangsa terbabit, polis turut menerima beberapa lagi laporan dan kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Kembali >> Ke halaman utama berita

Comments (0)

No login