Siasat kes jenayah

Drama bersiri The Bridge bukan saja memaparkan kisah penyiasatan membabitkan penemuan mayat di sempadan Malaysia dan Singapura tetapi turut mengandingkan bakat terbaik dari dua negara berkenaan.

Ia diadaptasi daripada siri penyiasatan jenayah terkenal The Bridge (Bron/Broen) karya Hans Rosenfeldt sebagai produksi bersama Filmlance International (Sweden), Endemol Shine Group dan Nimbus Film (Denmark).

Drama bersiri 10 episod ini juga arahan bersama pengarah terkenal dari Singapura, TJ Lee dan pengarah tempatan, Jason Chong.

Lebih memberangsangkan, siri penyiasatan hebat ini juga menggandingkan pelakon terbaik tempatan, Bront Palarae dan pelakon wanita terbaik Singapura, Rebecca Lim buat pertama kalinya.

Pada sesi fotografi yang diatur bersama Harian Metro di lokasi penggambaran The Bridge di Wisma Ekran, Kuala Lumpur, baru-baru ini, Bront mengakui dia memang menanti peluang bekerjasama dengan projek yang diadaptasi dari siri TV penyiasatan jenayah terkenal dari luar negara itu.

“Sebelum ini, saya pernah terbabit dengan siri HBO Halfworlds dan kali ini siri TV The Bridge pula untuk tayangan di saluran ntv7.

“Saya juga tidak sangka ada syarikat produksi tempatan yang berani mengetengahkan siri penyiasatan seperti The Bridge untuk tontonan di kaca TV tempatan,” katanya.

Bercerita mengenai wataknya sebagai Megat Jamal (MJ), Bront berkata, dia melakonkan watak penyiasat dari Malaysia yang bekerjasama dengan penyiasat Singapura untuk menyelesaikan kes penemuan mayat di sempadan dua negara ITU.

“Saya juga menimba pengalaman berharga bekerja dengan pengarah terkenal Singapura iaitu TJ Lee. Sebelum menerima tawaran projek ini, saya sudah bertanya rakan dalam industri seni dan ramai yang menanti peluang untuk bekerja dengannya dalam drama.

“Begitu juga Rebecca, kami selesa bekerjasama kerana dia pelakon yang bagus dan masing-masing seronok ketika di lokasi.

“Saya sangat bersyukur kerana dapat menjadi sebahagian daripada produksi siri TV ini. Apa yang penting dapat membuatkan penonton terhibur nanti.

“Selain itu, saya sudah empat kali bekerjasama dengan Jason dan tahu cara dia bekerja,” katanya.

Ditanya dari segi cabaran pula, kata Bront, dia berdepan cuaca panas ketika penggambaran siri itu.

“Sebagai penyiasat, saya juga memakai sut untuk menjiwai watak MJ dalam siri ini. Setakat ini, penggambaran berlangsung sebanyak 20 peratus membabitkan lokasi di Malaysia dan Singapura. Saya juga tidak sabar untuk ke lokasi setiap hari demi merealisasikan penggambaran siri ini seperti direncanakan,” katanya.

REBECCA (kiri) dan Bront. FOTO Aswadi Alias

Rebecca cabar diri babak aksi

Bagi Rebecca, 31, dia menerima tawaran berlakon dalam drama bersiri ini kerana tertarik dengan skripnya.

“Saya juga perlu menghadiri uji bakat sebelum ditawarkan watak penyiasat iaitu Serena Teoh. Pada masa sama, saya juga mahu bekerjasama dengan pengarah hebat seperti TJ Lee.

“Siri penyiasatan jenayah seperti ini jarang diketengahkan di kaca TV sama ada di Singapura mahupun Malaysia,” katanya

Mengenai cabaran watak Serena pula, kata Rebecca, dia perlu melakonkan babak aksi dan lasak.

“Serena bukan penyiasat tipikal yang sering dipaparkan dalam siri jenayah sebelum ini. Selain wataknya ada kelainan, saya juga perlu melakonkan babak aksi hingga kaki dan tubuh turut mengalami lebam-lebam ketika penggambaran sebelum ini,” katanya.

Berkongsi pengalaman bekerja dengan Bront pula, kata Rebecca, dia juga tiada masalah untuk mendapat keserasian berlakon dengannya dalam siri itu.

“Sebelum membaca skrip The Bridge dan datang ke sini, saya sudah banyak mendengar cerita mengenai lakonan Bront daripada rakan.

“Bront bukan saja pelakon yang bagus tetapi senang untuk bekerjasama dengannya. Bukan saja kali pertama bekerjasama dengan Bront, ia juga kali pertama saya menimba pengalaman baru terbabit dengan produksi dari Malaysia dan Singapura,” katanya.

The Bridge turut menampilkan barisan pelakon tempatan seperti Cheryl Samad dan Tony Eusoff.

Siri penyiasatan jenayah ini memaparkan penemuan satu mayat di sempadan Malaysia dan Singapura hingga menyebabkan penyiasat kedua-dua negara perlu menjalin kerjasama untuk menyelesaikan kes terbabit.

The Bridge diterbitkan dalam bahasa Malaysia, Inggeris dan Mandarin akan disiarkan menerusi saluran ntv7 pada November nanti.

Kembali >> Ke halaman utama berita

Comments (0)

No login