Tolak pujukan beracun

Batu Gajah: Pernah dipujuk menyertai komunis malah ditawarkan pangkat, namun semua itu ditolak Muhamad Razali Din, 75, kerana semangat perjuangan kental dan cintakan negara.

Veteran perang itu yang hilang sebahagian kaki kiri akibat terkena jerangkap samar mengakui saki baki kumpulan komunis mengirim surat untuk mendapatkan khidmatnya selepas enam bulan bersara dari tentera dengan pangkat Pegawai Waran II pada Disember 1982.

“Mereka (komunis) kata jika berminat, mereka nak jumpa saya secara senyap dan bersedia menawarkan pangkat. Surat itu kemudian saya koyak, meluap-luap hati ketika itu.

“Apa guna pangkat dan kedudukan jika kita menggadai prinsip serta perjuangan dengan cara mengkhianati negara dan anak bangsa sendiri.

“Saya sekarang bergelar orang kurang upaya (OKU) namun ia tidak melunturkan semangat saya kerana sedar di atas bahu kami tersandar segala harapan anak bangsa untuk mempertahankan negara dari ancaman musuh yang datang dari setiap penjuru pada ketika itu,” katanya ketika ditemui wartawan di rumahnya di Kampung Sungai Terap, dekat sini.

Muhamad Razali berkata, dia kehilangan sebelah kaki ketika menyertai Pasukan 8 Skuadron, Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) melakukan tugas membersihkan jerangkap samar musuh di sempadan Malaysia-Thailand dalam Operasi Naga/Operasi Foxtrot di kawasan hutan Banding, dekat Gerik pada 15 Mac 1977.

MUHAMAD Razali (kanan) menerima kunjungan hormat daripada pimpinan tertinggi ketika bertugas di Beufort, Sabah pada 1967. FOTO Razif Rosli

Menurutnya, ketika itu, dia bersama 12 anggota lain ditugaskan dengan cara taktikal iaitu dari satu petak ke satu petak untuk membersihkan periuk api.

“Setelah pembersihan dijalankan pada hari berkenaan, saya arahkan anggota untuk berehat sementara saya meneruskan tinjauan bagi merancang tugas untuk keesokannya.

“Saya masih ingat pada waktu itu, jam 3.45 petang, jarak 13 meter dari anggota sedang berehat, saya terpijak jerangkap samar musuh di kawasan belum diperiksa.

“Sebaik terkena jerangkap samar itu, badan saya melambung beberapa meter sebelum terjatuh. Saya sempat berpusing dan melihat kaki kiri berdarah dan hanya tinggal tulang kerana semua daging sudah hancur.

“Kesan kecederaan dialami saya mengakibatkan kaki kiri perlu dipotong sehingga di bawah lutut manakala mata kiri tidak mampu berfungsi dengan baik akibat serpihan logam yang masuk ke dalamnya,” katanya.

Muhamad Razali berkata, mengenang kekejaman komunis, dia membantah sebarang usaha atau rancangan untuk menulis semula sejarah dengan mengiktiraf perjuangan komunis.

Kembali >> Ke halaman utama berita

Comments (0)

No login