Dugaan berat bakal pengantin...

REMUK hati bakal pengantin wanita apabila hanya mampu melihat semua persiapan majlis perkahwinannya musnah dijilat api dalam kebakaran di Kampung Kuantan, Kuala Selangor, hari ini.

Dalam kejadian jam 12.15 tengah malam, barangan termasuk pelamin, hantaran dan baju pengantin yang bakal dipakai Nurul Ain Izzatti Arijan, 25, bertukar menjadi abu selepas rumah pusaka keluarganya terbakar.

Lebih memilukan apabila tragedi itu turut menyebabkan dia sekeluarga kini hanya tinggal sehelai sepinggang.

Nurul Ain berkata, ketika kejadian dia yang berada di ruang tamu terkejut mendengar jeritan ibunya, Intan Shahirah Abdullah, 50.

“Pada waktu itu, saya menyangka ibu terkena renjatan elektrik, namun melihat rupa-rupanya dapur rumah terbakar dan api yang semakin marak.

“Melihat keadaan itu, kami segera keluar tanpa sempat menyelamatkan apa-apa termasuk semua persediaan pernikahan saya yang dibuat sendiri seperti baju dan pelamin,” katanya ketika ditemui NSTP di lokasi kejadian, hari ini.

Menurutnya, dia reda dengan kejadian itu dan tetap akan meneruskan majlis perkahwinan pada 18 Ogos ini.

“Kami hanya mampu pasrah dengan ketentuan Ilahi biarpun semua persiapan termasuk 11 barang hantaran hangus dijilat api.

“Buat masa ini, saya menetap sementara di rumah ibu saudara di taman perumahan berdekatan,” katanya.

Dalam pada itu, bapanya, Arijan Osman, 50, berkata dia yang turut berada di dalam rumah berkenaan cuba memadamkan kebakaran dengan alat pemadam api, namun gagal.

“Saya menggunakan lima alat pemadam api yang ada, namun api semakin marak dan asap sudah memenuhi rumah.

“Tanpa berfikir panjang, saya segera menyelamatkan diri bersama anak dan isteri dengan keadaan tangan sedikit melecur. Semua barangan lain tidak sempat diselamatkan," katanya menganggarkan jumlah kerugian termasuk persiapan perkahwinan anak perempuannya mencecah RM100,000.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Selangor Penolong Penguasa Bomba Mohd Alhafiz Asmuni berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan pada jam 12.33 tengah malam.

“Kebakaran dapat dikawal dalam tempoh 40 minit sebelum api dipadamkan sepenuhnya pada jam 2.45 pagi.

“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca sebenar kejadian masih dalam siasatan,” katanya.

Kembali >> Ke halaman utama berita

Comments (0)

No login