Korang ni 'buta' ke?

KURANGNYA kesedaran pengguna pengangkutan awam terhadap keutamaan memberikan tempat duduk kepada golongan memerlukan di dalam MRT dan LRT, dapat dilihat dalam video tular yang menunjukkan kanak-kanak lelaki memberi tempat duduknya kepada wanita mengandung, manakala penumpang dewasa seolah-olah ‘tidak perasan’ kehadiran wanita berkenaan.

Video yang dikongsi oleh penerbit dan pengacara, Ally Iskandar di laman Facebook (FB) miliknya, semalam, mendapat tontonan sebanyak 1.8 juta dan turut dikongsi lebih 35 ribu pengguna di laman sosial.

Tinjauan di beberapa LRT hari ini juga mendapati walaupun tempat khas sudah disediakan dan bertulis tanda ‘tempat duduk untuk golongan orang tua, kurang upaya dan wanita hamil’, namun masih ada yang tidak peduli.

Wartawan NSTP turut melihat sendiri apabila seorang ibu hamil terpaksa berdiri dalam keadaan LRT sesak.

Masing-masing sibuk bermain telefon bimbit dan gajet tanpa ada rasa bersalah melihat ibu hamil berdiri.

Pengguna LRT, Fara Edlina Mohamed Noh, 31, berkata, selama menaiki LRT mahupun MRT belum ada lagi mana-mana penumpang memberikannya tempat duduk.

"Sebenarnya saya jenis tidak kisah apabila dapat tempat duduk atau tidak, cuma rasa terkilan apabila perjalanan jauh dari stesen LRT Taman Jaya ke KLCC dan saya pula sudah lama berdiri, namun tidak ada seorang pun yang peduli.

“Sedangkan mereka melihat keadaan saya yang sedang sarat hamil, namun sikap tidak peduli mereka dengan golongan seperti saya sangatlah menyedihkan," katanya yang sedang hamil lapan bulan.

Seorang lagi pengguna yang kini hamil lima bulan, Norhayati Harun, 34, berkata, dia sendiri kadang kala terpaksa meminta kerusi untuk duduk apabila melihat sikap tidak endah pengguna lain.

"Saya sering berdepan masalah tidak dapat duduk apabila tempat penuh termasuklah tempat duduk untuk golongan memerlukan.

"Lama saya perhatikan sikap mereka yang kebanyakannya orang muda.

"Apabila sudah penat, saya sendiri akan minta duduk dan kalau nasib saya baik dapatlah duduk. Pernah juga saya minta hendak duduk tapi mereka buat tidak tahu saja," katanya.

Sementara itu, Ketua Hal Ehwal Media Kumpulan Prasarana, Azhar Ghazali ketika dihubungi berkata, pihaknya berterima kasih atas video yang ditularkan kerana secara tidak langsung ia turut membantu pihaknya dalam memberi kesedaran kepada orang ramai.

"Kita sentiasa mengharapkan semua rakyat Malaysia bukan sahaja golongan kanak-kanak malah orang dewasa untuk lebih peka dan menghormati orang tua, wanita hamil dan orang kurang upaya.

"Walaupun sudah tertulis di kerusi ia dikhaskan untuk golongan seperti ini masih ada yang tidak sedar dan bersikap sambil lewa," katanya.

Azhar berkata, pihaknya sendiri ada juga membuat kempen berterusan menerusi laman sosial Prasarana terutamanya FB supaya penumpang sentiasa peka dan prihatin dengan pengguna daripada golongan ini.

"Kami sentiasa melakukan kempen dari masa ke semasa terutamanya di laman sosial kami, dengan tularnya video itu kami berharap masyarakat akan lebih sensitif selepas ini," katanya.

Kembali >> Ke halaman utama berita

Comments (0)

No login