4 angkat sumpah anggota Dewan Negara

Ketua Bahagian MCA Kuantan, Datuk Seri Ti Lian Ker adalah antara empat individu yang mengangkat sumpah sebagai Anggota Dewan Negara buat pertama kali, hari ini..

Mereka berempat mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri S.A. Vigneswaran di Dewan Negara di sini bagi tempoh tiga tahun.

Tiga lagi yang dilantik ialah Siti Fatimah Yahya, 63, yang juga Anggota Jawatankuasa Wanita Umno Pahang; Sabani Mat, 58, bekas bendahari Umno cawangan Arau dan Kamarudin Abdun, 60, yang juga setiausaha kerja Umno Perlis.

Ti ketika ditemui pemberita selepas majlis itu berkata beliau akan memainkan peranan untuk melakukan semak dan imbang kepada kerajaan dalam usaha meningkatkan pembangunan negara.

“Kita bukan mencari kesilapan yang dilakukan oleh kerajaan sebaliknya menegur dan berusaha bersama-sama memperbaiki sebarang kesilapan.

“Contohnya, jika kita lihat rakyat tidak menerima pemansuhan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan mendakwa pemansuhan itu tidak mengurangkan harga barangan, mungkin perkara itu perlu dipertimbangkan semula,” kata graduan lulusan undang-undang itu.

Sabani pula berkata beliau akan lebih peka dengan isu-isu yang ditimbulkan oleh rakyat tanpa mengira latar belakang parti bagi memastikan kebajikan mereka terpelihara.

“Setiap keputusan dan tindakan yang diambil hendaklah mendahului rakyat. Jangan ketepikan pendapat dan kemahuan rakyat jika ia dapat membantu memajukan negara ini,” katanya.

Sementara itu, Vigneswaran berkata Anggota Dewan Negara memainkan peranan penting dalam memberi pendapat serta memperhalusi sebarang rang undang-undang yang diluluskan di Dewan Rakyat untuk dibahaskan di Dewan Negara.

“Saya ingin menyeru kepada semua Anggota Dewan Negara supaya tidak menggunakan dewan yang mulia ini sebagai medan politik masing-masing. Gunakanlah ia sebagai tempat yang dapat memberi manfaat kepada kebajikan rakyat dan negara. Saya yakin dan percaya senator-senator akan memberikan perbahasan yang baik dan sewajarnya,” katanya.

- Bernama

Kembali >> Ke halaman utama berita

Comments (0)

No login