Shahidan nafi diserang strok

Ahli Parlimen Arau itu dipercayai menghidap gangguan autoimun ganjil yang dikenali sindrom Guillain-Barre.

Shahidan Kassim mengadu kakinya kebas.

ARAU: Pengerusi Umno Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim menafikan laporan media yang mendakwa beliau mengalami strok kecil baru-baru ini.

Ahli Parlimen Arau itu memberitahu FMT, beliau mengalami kekebasan di kakinya.

“Saya pulang ke Perlis sejak 4 hari lalu dan menghadiri majlis berbuka puasa setiap hari, serta menemui pengundi dan pemimpin Umno negeri.”

Satu sumber yang rapat dengan Shahidan berkata, bekas menteri besar itu dipercayai mengalami gangguan autoimun ganjil yang dikenali sindrom Guillain-Barré.

Sindrom itu ialah sejenis gangguan dalam sistem imun yang menyerang sel saraf sihat dalam sistem saraf periferal badan. Ini akan menyebabkan pesakit lemah, kebas dan mengalami kederiaan sesemut.

Sumber itu berkata, 3 hari selepas pilihan raya umum 9 Mei lalu, Shahidan dimasukkan ke hospital selepas mengadu tidak selesa.

Sejak itu, Shahidan keluar masuk hospital dan perlu menerima rawatan, termasuk sesi fisioterapi.

Baru-baru ini, Shahidan menerusi Facebooknya memberitahu beliau akan kembali ke hospital untuk menerima rawatan selepas sambutan Aidilfitri.

Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri itu menjadi tumpuan media apabila 9 adun Barisan Nasional yang memihaknya, memboikot pelantikan Datuk Seri Azlan Man sebagai menteri besar Perlis pada 24 Mei lalu.

Tindakan 9 adun itu, termasuk adiknya, Datuk Seri Ismail Kassim menyebabkan Raja Perlis murka dan kecewa kerana jemputan dihantar 2 hari sebelum majlis angkat sumpah berlangsung.

Shahidan kemudiannya mencadangkan Umno memecat keahlian Azlan dan meminta Raja Perlis tidak campur tangan urusan pentadbiran negeri.

Lapan daripada 9 adun BN itu mengangkat sumpah sebagai exco di depan Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail di Istana Arau, pagi tadi.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Kembali >> Ke halaman utama berita

Comments (0)

No login