Umno Johor: Tindakan 4 parti Sarawak keluar BN langkah ke belakang

Khaled Nordin berkata PBB, SUPP, PRS dan PDP mengkhianati mandat yang mengundi mereka kerana Barisan Nasional.

PETALING JAYA: Umno Johor berkata keputusan 4 parti Sarawak meninggalkan Barisan Nasional (BN) satu langkah ke belakang dalam usaha mengukuhkan integrasi nasional dan mewujudkan sistem 2 parti.

Pengerusi Datuk Seri Khaled Nordin sedih kerana Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Progresif Demokratik (PDP) juga mengetepikan kerjasama, persahabatan dan persaudaraan antara parti BN sejak lebih 60 tahun.

“Biarpun Umno Johor percaya bahawa ia dibuat dengan alasan dan pertimbangan yang sebaik-baiknya, Umno Johor juga percaya bahawa keputusan sedemikian secara tidak langsung menggagalkan usaha memperkemas demokrasi dan mewujudkan sistem dua parti (two parties system) yang diusahakan selama ini,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Ketua Menteri Sarawak Datuk Abang Johari Openg mengumumkan keempat-empat parti tersebut sepakat meninggalkan BN untuk membentuk Gabungan Parti Sarawak (GPS) ekoran perkembangan politik semasa.

Khaled akur tiada pihak boleh mempertikaikan atau menghalang keputusan parti-parti Sarawak “mencari hala tuju serta jalan masa depannya sendiri” pasca kekalahan mengejut BN di peringkat nasional pada pilihan raya umum 9 Mei lalu.

Bagaimanapun, GPS mengkhianati mandat rakyat yang mengundi mereka kerana Barisan Nasional, kata Khaled.

“Kekalahan dalam PRU bukanlah pengakhiran kepada segala-galanya. Ia seharusnya menjadi peringatan dan motivasi untuk parti menambah baik diri sendiri,” katanya.

Bergerak ke depan, Umno Johor berkata BN kini berdepan cabaran besar untuk menyatu dan mengukuhkan parti-parti komponen BN yang ada.

Khaled berkata BN perlu mengkaji semula formula politik gabungan itu atas kesedaran setiap pakatan akan berubah mengikut masa.

“Setiap formula perkongsian kuasa yang menghimpunkan pelbagai kaum dan kemajmukan seperti yang diamalkan oleh BN selama ini pasti akan teruji dengan bermacam-macam cabaran semasa.

“Jadi, adalah kritikal untuk BN terus mencari jalan masa hadapan yang berupaya untuk mendepani semua ini dengan baik. Malah, Umno Johor sendiri akan memperhalusi perkara ini dengan sedalam-dalamnya,” katanya.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Kembali >> Ke halaman utama berita

Comments (0)

No login