Hierro jurulatih baru Sepanyol

SEPANYOL membuat ‘kerja gila’ apabila memecat jurulatihnya, Julen Lopetegui - hanya dua hari sebelum aksi pembukaan Piala Dunia bertemu Portugal, Jumaat ini.

Menerusi pengumuman mengejut semalam, Real Madrid melantik Lopetegui sebagai pengganti Zinedine Zidane selepas berakhirnya kempen Piala Dunia nanti sekali gus menimbulkan kemarahan persatuan dan penyokong yang melihat pengumuman itu tidak kena pada masanya.

Pada sidang media yang ditangguhkan hari ini yang berlangsung di Krasnodar, Ketua Persekutuan Bolasepak Sepanyol (RFEF), Luis Rubiales meluahkan rasa tidak puas hatinya berhubung pengumuman yang dilihat mampu mengganggu persiapan pasukan terbabit di Piala Dunia.

“Pasukan kebangsaan ini adalah pasukan untuk semua rakyat Sepanyol, jadi ada beberapa keputusan yang perlu diambil untuk melindungi nilainya” kata Rubiales.

“Perbincangan sememangnya dibenarkan namun ia berlangsung tanpa makluman kepada RFEF sehinggalah lima minit sebelum kenyataan media dikeluarkan.

“Ini adalah mesej kepada semua ahli RFEF bahawa setiap perkara perlu melalui proses yang sepatutnya.”

Lopetegui sudah menandatangani kontrak lanjutan sehingga 2020, bulan lalu dan tidak pernah tewas dalam 20 perlawanan yang dikendalikannya.

Justeru, RFEF menamakan pengarah sukannya, Fernando Hierro sebagai jurulatih baharu bagi menggantikan tempat Lopetegui.

“Fernando Hierro akan meneruskan tanggungjawab untuk melatih pasukan di Piala Dunia,” kata RFEF.

Hierro, 50, tidak memiliki begitu banyak pengalaman dalam bidang kejurulatihan dengan satu-satunya pasukan yang pernah dikendalikan olehnya adalah kelab divisyen dua Sepanyol, Oviedo selama semusim.  

Kembali >> Ke halaman utama berita

Comments (0)

No login