Pilunya Aidilfitri kali ini

LIMA sekeluarga terpaksa reda menyambut ketibaan 1 Syawal dalam keadaan pilu selepas rumah mereka musnah terbakar di Kampung Lubok Buntin, di Simunjan, pagi semalam.

Pada kejadian jam 11 pagi itu, tiada kemalangan jiwa dilaporkan kerana tiada penghuni berada di dalam kediaman berkenaan.

Difahamkan, kejadian disedari jiran yang melihat asap tebal keluar dari rumah sebelum menghubungi bomba.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 11.17 pagi.

Katanya, sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simunjan dikejarkan ke lokasi.

Menurutnya, sebaik tiba, bomba dapati api marak memusnahkan rumah satu tingkat yang dibina separa kayu.

"Pasukan bomba kemudian bergegas memadamkan kebakaran selain tidak mahu api merebak menjejaskan rumah berhampiran.

"Kebakaran dapat dipadamkan sepenuhnya, jam 1.10 tengah hari," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, ketika kejadian, penghuni rumah berkenaan terdiri daripada seorang lelaki dan empat wanita tidak berada di kediaman berkenaan.

Katanya, barangan berharga dan dokumen penting di dalam rumah tidak dapat diselamatkan berikutan api marak dengan cepat.

“Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Kembali >> Ke halaman utama berita

Comments (0)

No login