Terima kasih abang polis

“TABIK pada unit peronda Polis Diraja Malaysia (PDRM) IPD Batu 10, Johor Bahru Utara (JBU) kerana menyelamatkan nyawa pak cik kami,” kata peniaga Vijay Kelvin, 41.

Status berkenaan dikongsikan Vijay kerana berterima kasih kepada dua anggota Unit Kereta Peronda (MPV) polis yang membantu mengiringi dua kenderaan keluarganya dari Mutiara Rini ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru, Jumaat lalu.

Penghargaan itu dikongsikan Vijay bersama abangnya, T Manimaran, 43, kerana usaha dua anggota terbabit menyelamatkan nyawa bapa saudaranya yang mengalami sesak nafas.

Vijay berkata, kejadian bermula apabila mereka dua beradik yang menaiki dua kereta PROTON Iswara memandu laju untuk menghantar bapa saudaranya, T Sathiavan, 56, mendapatkan rawatan segera di hospital.

“Kejadian bermula apabila pak cik muntah selepas menerima bekalan oksigen dan dinasihatkan segera mendapatkan rawatan di hospital.

“Ambulans yang sepatutnya membawa pak cik lambat tiba menyebabkan saya tiada pilihan memecut kenderaan dengan laju,” katanya yang datang ke Pejabat NSTP, hari ini.

Katanya, dengan keadaan jalan yang sesak, mereka bernasib baik kerana didatangi dua anggota MPV yang melalui kawasan itu.

“Kami terharu, dua anggota terbabit masih mahu membantu walaupun HSA bukan lokasi penugasan mereka, tetapi tetap mengiringi kenderaan kami ke hospital.

“Kalau mereka berdua tidak bantu kami, mungkin pak cik kami sudah meninggal dunia,” katanya yang tidak menyangka video berdurasi pendek dirakamkan sepupu mereka berusia lapan tahun dilihat hampir sejuta pemilik akaun FB.

“Pelbagai penghargaan diberikan netizen yang kagum dengan dua anggota terbabit kerana sanggup membantu masyarakat yang dalam kesusahan,” katanya.

Mereka berdua turut menemui dua anggota terbabit bagi menyatakan penghargaan kerana membantu menyelamatkan nyawa pak cik mereka ketika itu.

VIJAY Kelvin (kiri) dan Manimaran menunjukkan gambar yang di muat naik dalam FB. FOTO Zain Ahmed

Mengulas lanjut, Vijay berkata, masyarakat tidak seharusnya memandang negatif akan tugas polis, sebaliknya banyak jasa yang ditaburkan kepada mereka.

“Pada saya, tugas polis bukan sahaja mencegah jenayah tetapi juga membantu saat cemas.

“Dengan apa yang berlaku ini, masyarakat perlu menolak tanggapan negatif, sebaliknya terus bersikap positif bagi memberi semangat kepada anggota bertugas demi membantu masyarakat,” katanya.

Kembali >> Ke halaman utama berita

Comments (0)

No login