Bayi patah tulang paha kiri

BAYI perempuan berusia tiga bulan patah tulang paha kiri disyaki ketika mangsa dalam jagaan pengasuhnya di Pangsapuri Komuter Raya, di Seksyen 19, di Shah Alam, semalam.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib mengesahkan menerima laporan yang dibuat oleh bapa mangsa pada jam 1 pagi hari ini.

"Menurut laporan yang kami terima, bapa mangsa menghantar anaknya ke rumah pengasuh pada 7 pagi semalam sebelum keluar bekerja dan mengambil kembali anaknya pada jam 3.15 petang.

"Ekoran anaknya tidak berhenti menangis, bapa mangsa yang juga seorang pembantu perubatan di Hospital Shah Alam, Selangor (HSAS) membawa anaknya ke hospital untuk pemeriksaan.

"Hasil pemeriksaan X-ray, pihak hospital mengesahkan bahawa tulang paha kiri bayi berkenaan patah," katanya ketika ditemui pada sidang media, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, hari ini.

Beliau berkata, polis kini sedang melakukan siasatan lanjut dan akan mendapatkan kenyataan daripada pengasuh yang berusia awal 30-an manakala pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga sudah dimaklumkan.

Katanya, pihak hospital juga sedang melakukan siasatan punca tulang paha bayi berkenaan patah.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 31 (1) (c) Akta Kanak-Kanak 2001.

Kembali >> Ke halaman utama berita

Comments (0)

No login