Saya maafkan tapi jangan berlaku lagi - Raja Perlis

SEMBILAN wakil rakyat Barisan Nasional (BN) yang tidak hadir pada Majlis Istiadat dan Angkat Sumpah Menteri Besar Perlis pada 24 Mei lalu ditegur dan dinasihati supaya tidak mengulangi kesilapan yang sama.

Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail berharap kesilapan berkenaan perlu dijadikan iktibar dan pengajaran serta tidak lagi berulang di masa hadapan.

“Sepatutnya lantikan EXCO diadakan lebih awal tetapi kerana kemelut yang tidak disangka berlaku, semuanya terpaksa ditunda ke belakang dan kita terpaksa bazir banyak masa.

“Kemelut itu tidak sepatutnya berlaku, saya pandang ia serius kerana majlis itu berlangsung di istana dan saya terbabit dalam lantikan Menteri Besar.

“Sembilan wakil rakyat boikot majlis itu, saya harap perkara ini tidak berlaku lagi,” titah baginda, hari ini.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (EXCO) Negeri di Istana Arau, pagi tadi.

Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man.

Raja Perlis bertitah, walaupun pandangan orang perkara yang lepas perlu dibiarkan berlalu baginda tetap berharap ia tidak akan berlaku lagi pada masa hadapan.

“Saya bimbang, bila perkara seperti itu berlaku ia menunjuk ada pemberontak dalam negeri kita.

“Tetapi mereka semua sudah menghadap dan memohon maaf kepada saya.

“Siapa dalam dunia ini tidak buat salah dan silap, jadi saya terima dan memaafkan mereka tetapi perkara itu jangan berlaku lagi,” titah baginda.

Tuanku Syed Sirajuddin bertitah, semua wakil rakyat di negeri ini melupakan parti masing-masing dan memberi tumpuan kepada rakyat.

“Tuan-tuan dan puan-puan mewakili tiap-tiap rakyat, tidak mengira parti, bangsa dan warna kulit.

“Kita mesti adil jangan ketepi sesiapa sahaja. Jangan jadi wakil rakyat jika tidak mahu menjaga kebajikan rakyat.

“Ketepikan politik, politik 24 jam tidak membawa faedah. Beri tumpuan kepada pembangunan di negeri ini,” titah baginda.

Kembali >> Ke halaman utama berita

Comments (0)

No login