Edar 2,000 bungkus teh ais percuma

PENIAGA yang pernah tular menjual teh tarik 20 sen segelas dan teh ais RM1 sebungkus mengejutkan pelanggannya hari ini, apabila memberikan 2,000 bungkus minuman secara percuma di gerainya di Taman Pelangi, Jalan Kuala Kedah, Alor Setar.

Ahmad Thalhaah Ahmad Sabri, 36, yang pernah digelar ‘tauke gila’ oleh pelanggan dan rakan kerana harga ditawarkannya berkata, dia membuat kenduri hari ini bagi memberi penghargaan kepada pelanggan yang banyak membantunya selama ini.

“Terima kasih juga kepada akhbar Harian Metro dan Berita Harian kerana selepas kisah teh ais ini keluar, berpusu-pusu orang datang membeli sehingga tidak menang tangan dan jualan bertambah dua kali ganda,

“Jualan meningkat mendadak dan dalam masa dua jam saja hampir 2,000 bungkus teh ais berharga RM1 habis dijual setiap hari,” katanya ketika ditemui di gerainya, hari ini.

Tinjauan mendapati, Ahmad Thalhaah dan tujuh pembantu mula sibuk menyediakan teh ais seawal jam 3 petang kerana minuman berkenaan akan mula diedarkan jam 5 petang.

Sebanyak 288 tin susu pekat dan 15 kilogram teh digunakan pada hari ini bagi menyediakan teh.

Kembali >> Ke halaman utama berita

Comments (0)

No login