Drama Nur akan disambung?

PENGARAH drama fenomena Nur, Shahrulezad Mohameddin mengakui mendapat tawaran untuk menghasilkan Nur 2 daripada TV3.

Shahrulezad bagaimanapun tidak mahu terburu-buru untuk menghasilkan sambungan drama yang menampilkan Amyra Rosli dan Syafiq Kyle itu.

"Diakui ramai nak sambungan drama ini. Malah, pihak stesen TV pun sudah menawarkan untuk saya menghasilkan Nur 2. Sejujurnya, saya belum ada idea.

"Apatah lagi sekarang kita sibuk nak beraya, jadi kepala saya kosong. Kalau boleh selesaikan Syawal dahulu. Malah, satu perangai pelik saya iaitu tidak suka bekerja dalam keadaan terganggu.

"Isu saya sekarang adalah berbalik kepada niat. Kalau saya buat Nur 2, adakah semata-mata untuk mendapatkan 'rating' penonton dan lawan yang pertama? Sedangkan saya nak bercerita mengenai Allah dan kebaikan agama," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Shahrulezad, dia tidak mahu perkara itu memesongkan niatnya kerana bimbang ia jadi tidak ikhlas dalam berkarya.

"Apabila niat goyah, ia jadi tidak ikhlas dan buat semata-mata nak cabar yang pertama. Saya berasakan ia bukan sesuatu yang bagus. Ini bukan cara saya berkerja.

"Disebabkan itu, kalau saya nak buat pun, tunggu isyarat daripada Allah dan baru boleh saya teruskan. Saya yakin ia pasti dipermudahkan macam Nur.

"Lagi pula, semua yang terbabit dalam Nur ini ikhlas. Kami terkejut melihat hasil dan sambutan diberikan," katanya.

Selain itu, Shahrulezad berkongsi menerima banyak mesej di laman sosial yang mahukan dia terus menghasilkan karya berat sebegitu.

"Orang seolah-olah meletakkan kepercayaan dan tanggungjawab untuk saya menghasilkan karya sebegini. Saya ibaratnya ‘abang long’ yang kena teruskan legasi cerita macam ini.

"Harapan diberikan sedikit sebanyak membuatkan saya tertekan. Namun, macam dikatakan semuanya perlu disertakan dengan niat baik dan penuh keikhlasan," katanya.

Drama Nur yang ditayangkan menerusi slot Samarinda di TV3 bakal melabuhkan tirai malam ini selepas bersiaran selama 18 episod bermula 14 Mei lalu.

Untuk rekod, Nur yang ditayangkan setiap Isnin hingga Khamis pada jam 10 malam menjadi 'trending' di laman Twitter dan mencecah 9 juta tontonan sehingga episod 12.

Malah, drama ini mencatat 2.5 juta penonton pada episod 16 yang memaparkan babak Aishah lakonan Noorkhiriah menuduh Nur menyihir keluarganya menggunakan sup bunjut hingga tular di laman sosial.

Selain Amyra dan Syafiq, drama terbitan Radius One Sdn Bhd ini menampilkan gandingan pelakon hebat lain seperti Riena Diana, Datuk Jalaludin Hassan, Fatimah Abu Bakar, Noorkhiriah dan Azhan Rani.

Kembali >> Ke halaman utama berita

Comments (0)

No login