Warga tua pendam rindu menjelang Aidilfitri

BAGI umat Islam, Ramadan dan Aidilfitri adalah bulan yang ditunggu-tunggu bukan saja kerana penuh keberkatan, malah ia waktu bagi keluarga dan sanak-saudara berkumpul.

Namun, ia duka bagi Karim Nasip, 64, apabila terpaksa menyambut bulan puasa di Rumah Warga Tua Sri Harapan di Sandakan, selepas terputus hubungan dengan isteri, Ratna Hasim, 50-an yang dipercayai pulang ke Indonesia sejak awal tahun ini.

Biarpun sukar bertutur dengan pergerakan terbatas selepas diserang angin ahmar pada Oktober lalu, raut wajah Karim menunjukkan kesedihan warga tua yang berasal dari Segaliud, lantaran terpaksa menyambut kedatangan Aidilfitri di rumah perlindungan berkenaan.

Menerusi isyarat tangan dan pertuturan tersekat-sekat, Karim berkata, dia dijaga adik angkatnya yang menetap di Batu 10 sejak tahun lalu sebelum dihantar ke pusat perlindungan warga tua itu.

Sebelum ini dia bekerja sebagai pengawal keselamatan di Ladang Sabang, di Sugut selepas berhenti menjadi polis bantuan.

“Rindu isteri, anak. Mahu pulang Sugut sambut raya,” katanya ketika ditemui NSTP.

Karim berkata, empat anak tirinya iaitu Agus, Anto, Ano dan Zana berusia antara 20 hingga 30 tahun dipercayai masih tinggal dan bekerja di Ladang Sabang.

Karim dihantar ke pusat jagaan itu baru-baru ini, menjadikan jumlah keseluruhan warga tua yang tinggal di situ seramai 54 orang dengan 27 daripadanya adalah warga tua terlantar.

Sementara itu, Penguasa Rumah Warga Tua Sri Harapan, Roslan Tuyun @ Muhammad, berkata pihaknya meminta kerjasama orang ramai yang mengenali ahli keluarga Karim agar dapat menyalurkan maklumat sekali gus memudahkan pusat perlindungan itu menghubungi isteri dan anak Karim.

Kembali >> Ke halaman utama berita

Comments (0)

No login