'Beri kesempatan orang luar sertai pemilihan Puteri Umno'

Ketua Puteri Umno, Mas Ermieyati Samsudin berkata sayap parti itu perlu memberi kesempatan kepada orang luar menyertai pemilihan parti.

Beliau berharap jawatan sayap itu bukan hanya disandang pemimpin bahagian dan mereka yang sudah ada jawatan parti.

"Beri kesempatan kepada calon-calon yang layak, yang selama ini nampak konsisten, yang ingin sumbang kepada parti.

"Kombinasi latar belakang, pengalaman akan bantu untuk adakan satu perubahan," kata Mas Ermieyati kepada Malaysiakini.

Beliau berkata sayap Puteri Umno melalui inisiatif seperti Sekretariat Mahasiswi Nasional (SWINAS) dan ADINDA berjaya menarik ramai wanita muda berkelayakan menyertai parti itu.

Beliau menjelaskan pemimpin NGO yang turut bergerak dalam Puteri Umno juga perlu dipertimbangkan untuk diberi peranan kepimpinan dalam parti itu.

Mas Ermieyati, yang juga Anggota Parlimen Masjid Tanah tidak akan mempertahankan jawatannya sebagai ketua pergerakan Puteri Umno.

Bagaimanapun, beliau sedang mempertimbangkan untuk bertanding jawatan naib presiden Umno.

Puteri Umno, bersama sayap wanita dan pemuda akan mengadakan pemilihan pada 23 Jun ini.

[Baca berita asal]

Kembali >> Ke halaman utama berita

Comments (0)

No login