Pelabur Jepun lebih jujur, telus - Jalilah Baba

KUALA LUMPUR: "Pelabur Jepun lebih jujur dan telus berbanding pelabur dari negara lain."

Bekas Ketua Pengarah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Datuk Jalilah Baba berkata demikian berdasarkan pengalaman 35 tahun berkhidmat di MIDA.

Menurutnya, sikap terbuka yang diamalkan pelabur Jepun memudahkan segala urusan.

“Mereka sedia berkongsi maklumat dan berbincang dengan kita walaupun pada hari cuti.

“Syarikat Jepun akan tunjukkan kepada kita kos, sasaran, keuntungan dan apakah yang bakal terjadi kepada Malaysia hasil daripada projek yang disepakati,” katanya semasa ditemu bual Astro AWANI pada Khamis.

Menurutnya lagi, persediaaan mengenai projek yang dilakukan oleh syarikat Jepun membolehkan kedua-dua pihak melakukan analisis, namun terpulang kepada Malaysia untuk menilai segala yang ditawarkan agar dapat memberi pulangan kepada negara.

Dalam sesi temu bual sama, Jalilah turut mendedahkan kriteria yang diambil sebelum membenarkan mana-mana syarikat untuk melabur di Malaysia.

“Kita akan selidik latar belakang syarikat berkenaan termasuklah reputasi yang baik, tidak memiliki hutang yang banyak dan bebas daripada terkait dengan mana-mana aktiviti yang boleh mengundang muflis.”

Tambahnya, projek-projek cadangan daripada Jepun lebih mudah untuk dinilai memandangkan mereka lebih bersedia menjawab segala soalan yang diajukan.

Terdahulu, Tun Dr Mahathir Mohamad mempelawa Jepun untuk menjadi rakan kongsi dengan Malaysia dalam membangunkan negara Asia Tenggara.

Perdana Menteri menyampaikan pelawaan itu dalam satu pertemuan dengan para pemimpin organisasi utama ekonomi Jepun pada Selasa.

BACA: Dr M pelawa Jepun melabur di Malaysia

Kembali >> Ke halaman utama berita

Comments (0)

No login