Pembebasan ini satu kejayaan rakyat - Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR: Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim percaya pengampunan penuh dan pembebasan beliau adalah hasil daya juang dan semangat yang ditunjukkan rakyat selama 20 tahun untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang baharu.

Beliau berkata, pembebasannya itu satu kejayaan rakyat dan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menyokong serta mendoakannya.

"Saya panjatkan kesyukuran kepada Allah, menjunjung kasih dan terima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong atas pembebasan ini dan rakyat Malaysia seluruhnya... Melayu, Cina, India, Iban dan Kadazan yang mahukan menegakkan demokrasi dan kebebasan bersuara di negara ini," katanya dalam sidang media pertama di kediamannya di Bukit Segambut selepas pembebasannya, hari ini.

Anwar berkata, pembebasan beliau itu juga satu babak baharu dan permulaan untuk perubahan yang menuntut rakyat bersama kerajaan Pakatan Harapan (PH) bersama-sama bertindak memajukan negara.

"Kita kena terus maju ke hadapan. Kita ada tugas memajukan negara .

"Saya lihat hasil usaha semua tidak sia-sia selama 20 tahun ini. Saya menanggung derita, sengsara,dihina dan diaibkan.

"Saya yang menanggungnya selama ini, Azizah dan keluarga, sahabat handai yang menanggung.

"Alhamdulillah dengan sokongan rakyat kita saksikan perubahan. Ini yang cukup membuatkan saya terharu. Bayangkan seorang yang merengkok di penjara diberi penghormatan tertinggi oleh Yang di-Pertuan Agong yang menjelaskan sendiri mengapa keputusan memerdekakan dan membebaskan saya tanpa syarat di buat," katanya.

Kembali >> Ke halaman utama berita

Comments (0)

No login