Sektor korporat bantu imarahkan Masjid Ar-Rahah

KUALA LUMPUR: Masjid Ar-Rahah menyediakan platform bagi sektor korporat menggunakannya sebagai institusi kecemerlangan selain membantu pembangunan ummah.

Masjid yang terletak di Bangsar Selatan (Bangsar South) di sini, memperluaskan skop agama dan fungsi masjid untuk menarik minat orang ramai dengan kepelbagaian program serta pemilihan topik bertepatan dengan jemaahnya.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Masjid Ar- Rahah, Datuk Dr Syed Mohammad Syed Kadir, berkata persepsi masyarakat umum yang melihat masjid sebagai pusat ibadat semata-mata, perlu diubah.

"Kita dalam usaha mengimarahkan masjid dengan pembabitan sektor korporat untuk masyarakat mendekatkan diri dengan ilmu agama khususnya al-Quran.

"Setiap institusi masjid yang dibangunkan hendaklah bersesuaian dengan keadaan sekeliling. Sebagai contoh masjid Ar- Rahah ini dikelilingi syarikat korporat, termasuk penduduk Lembah Pantai.

"Justeru, peranan kami adalah untuk menarik minat mereka ke masjid dengan pembentukan program mengikut kehendak dan keperluan jemaah," katanya ketika ditemui, semalam.

Antara program yang dibangunkan sempena menyambut kedatangan Ramadan adalah 'Semarak Ramadan @ Ar Rahah'.

Sebagai permulaan, lebih 700 pek kurma diedar kepada orang awam di Lembah Pantai di sini, semalam.

Syed Muhammad juga berkata, menerusi kerjasama dengan badan korporat, pihaknya mengambil inisiatif yang mampu membantu jemaah masjid, kakitangan korporat dan orang ramai.

"Di masjid ini kita mulakan program 'Road to Ramadan' sejak Mac lalu sebagai persediaan menyambut Ramadan dan diadakan pada waktu Zuhur dengan lebih 300 jemaah hadir bagi menyertai pelbagai program disediakan.

"Selain itu, kami juga mengadakan program bual bicara yang mengambil contoh seorang tokoh korporat berjaya yang mampu mengimbangi ilmu dunia dan akhirat pada waktu sama," katanya.

Masjid itu juga akan terbabit dalam program World Quran Hour pada 7 Jun ini.

Kembali >> Ke halaman utama berita

Comments (0)

No login