Fortune Concept fokus luas pasaran di Malaysia

KUALA LUMPUR: Fortune Concept Ltd, pengedar jenama barangan gaya hidup antarabangsa untuk jam, barang kemas dan cermin mata berhasrat memberi fokus kepada pengembangan di Malaysia bagi meluaskan penguasaan pasarannya.

Pengarah Jualan Serantaunya, Rajiv Mehra, berkata pihaknya mempunyai perancangan untuk menggandakan jumlah cawangan di negara ini dalam tempoh lima tahun akan datang.

"Pelancaran Master Odissea Cerutti 1881 baru-baru ini adalah bukti kepada usaha kami dalam meningkatkan prospek pelaburan jangka panjang di Malaysia," katanya pada pelancaran Cerruti 1881 Timepieces - Odissea Master di sini, baru-baru ini.

Fortune Concept adalah syarikat berpangkalan di Hong Kong dan ia kini beroperasi di 14 kios dan cawangan fizikal di bandar utama di negara ini.

Beliau berkata, pihaknya yakin pasaran akan kembali pulih dalam tempoh 12 hingga 18 bulan akan datang dipacu melalui kitaran perniagaan yang mengalami turun naik.

Menurutnya, ia juga turut dibantu jangkaan bahawa orang ramai akan kembali ke pasaran dan bersedia untuk membeli barangan termasuk barang kemas dan jam tangan berikutan sebelum ini mereka menyimpan wang berikutan ketidaktentuan pasaran.

"Perniagaan kami di Malaysia kini stabil namun kami lihat lebih ramai orang akan membeli barangan separa mewah hingga mewah terutama jam tangan dan barang kemas fesyen," katanya.

Mengulas mengenai pelaburan bagi perluasan pasarannya, Rajiv berkata ia bergantung kepada lokasi dan saiz bagi setiap cawangan.

"Secara purata, kami membelanjakan antara AS$3 juta (RM11.85 juta) hingga AS$5 juta (RM19.75 juta) bagi membuka sebuah cawangan di mana Malaysia adalah sebuah negara yang memiliki potensi besar dan oleh itu kami sanggup untuk mengeluarkan kos di sini," katanya.

Beliau berkata, Malaysia adalah salah satu pasaran penting di Asia Tenggara bagi Fortune Concept terutama bagi kategori jam di bawah jenama Cerutti di mana sebanyak 20,000 hingga 25,000 jam Cerutti berjaya di jual dalam tempoh setahun.

"Malaysia adalah pasaran kedua selepas Indonesia diiikuti Thailand dan Singapura dengan Indonesia menjadi peneraju berikutan saiz populasinya," katanya.

Kembali >> Ke halaman utama berita

Comments (0)

No login