Presiden Mesir ampunkan 330 banduan muda

KAHERAH: Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi hari ini mengampunkan lebih 330 banduan muda sempena awal bulan Ramadan, lapor media tempatan sambil menambah ada di antara mereka yang diampunkan ditahan kerana menyertai tunjuk perasaan.

"Saya meminta Menteri Dalam Negeri supaya membenarkan orang muda ini berada bersama keluarga mereka untuk Sahur," kata Sisi dalam persidangan belia yang disiarkan menerusi stesen televisyen kerajaan.

Pada bulan Ramadan, semua umat Islam akan menahan diri daripada makan dan minum daripada waktu matahari terbit sehingga terbenam. Di Mesir, ibadat berpuasa bermula esok.

Pada 2016, Sisi berjanji untuk membebaskan belia yang menyertai tunjuk perasaan, susulan operasi membendung penyokong bekas Presiden Mohamed Morsi. Beliau digulingkan tentera pada Julai 2013, susulan tunjuk perasaan besar-besaran menentangnya.

"Kira-kira 332 banduan muda menerima manfaat daripada pengampunan Presiden," menurut akhbar kerajaan, Akhbar al-Youm hari ini. Katanya, mereka yang diampunkan ditahan ketika tunjuk perasaan.

Sisi berkata, beliau meluluskan pengampunan daripada senarai yang disediakan jawatankuasa presiden untuk mengampunkan banduan muda. Beliau sebelum ini beberapa kali mengampunkan banduan muda atas sebab sama. - AFP

Kembali >> Ke halaman utama berita

Comments (0)

No login