Maut bersama anak majikan

IPOH: Dua maut termasuk seorang pelajar lelaki berusia 13 tahun selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki bertembung dengan lori di Jalan Ipoh - Lumut berhampiran Puncak Jelapang di sini, hari ini.

Dalam nahas jam 3.10 petang itu, penumpang kenderaan itu, Zulfaqar Khirul Nizam, 13, maut di lokasi, manakala pemandunya, Ahmad Zhafran Yunus, 22, yang beralamat di Taman Sri Intan, Gemencheh, Negeri Sembilan, meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, kira-kira 20 minit kemudian.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby, berkata pemandu lori berusia 44 tahun tidak mengalami kecederaan.

Katanya, siasatan mendapati Ahmad Zhafran baharu mengambil anak majikannya itu dari sekolah dan dalam perjalanan dari arah Jelapang menghala Mengelembu, manakala lori dari arah bertentangan.

"Siasatan awal mendapati pacuan empat roda itu cuba memotong kenderaan lain sebelum hilang kawalan dan berpusing memasuki lorong bertentangan, lalu merempuh lori di laluan bertentangan," katanya ketika dihubungi.

Mohd Ali berkata, kedua-dua mangsa tersepit dalam kenderaan pacuan empat roda berkenaan dan dikeluarkan oleh anggota bomba.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Kembali >> Ke halaman utama berita

Comments (0)

No login