Penyokong Anwar membanjiri Padang Timur

PETALING JAYA: Ribuan orang berhimpun di Padang Timur di sini malam ini, bagi mendengar ucapan sulung Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, selepas mendapat pengampunan penuh daripada Yang Di Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.

Orang ramai yang mula berhimpun di padang berkenaan sejak jam 6 petang, turut menunaikan solat Isyak dan terawih sementara menunggu ketibaan Anwar.

Tempat letak kenderaan berhampiran pusat beli belah berhampiran lokasi perhimpunan itu penuh dengan kenderaan, selain peniaga turut berniaga di kawasan berkenaan.

Himpunan itu turut disertai Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin; Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu dan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar.

Anwar hari ini diberikan pembebasan serta-merta selepas mendapat perkenan pengampunan penuh Yang di-Pertuan Agong.

Anwar menjalani hukuman penjara lima tahun selepas disabitkan dengan kesalahan meliwat.

Kembali >> Ke halaman utama berita

Comments (0)

No login