PH tidak terima keahlian daripada parti yang kalah dalam PRU14

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Pakatan Harapan (PH) tidak akan menerima ahli daripada parti yang kalah dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Pengerusi PH itu berkata ramai ahli politik daripada kerajaan sebelum ini berminat untuk menyertai PH.

“Kita dapati rakyat tidak boleh terima mereka. Sebab itu, mereka tidak harus diterima untuk menjadi ahli.

“Mereka boleh mengisytihar keluar parti umpama Umno dan menyatakan sokongan kepada kerajaan tetapi (mereka) tidak boleh menjadi ahli dalam parti kerajaan (PH),” katanya dalam sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya hari ini.

Dr Mahathir berkata rakyat tidak mahu ahli politik kerajaan lama mempengaruhi kerajaan baharu.

“Rakyat tidak pandang baik terhadap ahli politik daripada kerajaan sebelum ini untuk menyertai PH kerana tidak mahu kerajaan baharu ini nampak seperti kerajaan lama. Oleh itu, penyertaan mereka tidak boleh diterima,” katanya.

Semalam, Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Kamaruddin Md Noor berkata parti itu menerima permohonan kemasukan baharu setiap hari termasuk pemimpin dan anggota Umno dari seluruh daerah di Kelantan.

Namun begitu, Kamaruddin berkata semua permohonan baharu bagi menyertai parti uty akan dibawa ke mesyuarat Anggota Majlis Tertinggi parti dalam masa terdekat.

Pada 14 Mei, di Perak, Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Manik Datuk Zainol Fadzi Paharuddin serta empat pemimpin lain antara 200 anggota Umno yang mengisytiharkan keluar Umno dan menyertai Bersatu Perak.

Kembali >> Ke halaman utama berita

Comments (0)

No login